KUALA LUMPUR: Segelintir pendeposit yang menutup akaun Lembaga Tabung
Haji (TH) dan membatalkan giliran haji kerana terperdaya dengan fitnah
berhubung kedudukan kewangan TH sebelum ini, boleh membuat rayuan untuk
membuka akaun serta mendaftar giliran haji semula.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki
yang dipetik Berita Harian Online walau bagaimanapun berkata, kumpulan
itu terpaksa melalui prosedur biasa dalam proses rayuan berkenaan dan
tiada jaminan layanan istimewa diberikan.
"Mengenai giliran haji yang dibatalkan, saya tidak boleh memberi
jaminan mereka mendapat semula giliran itu kembali kerana TH mempunyai
sistem berdaftar untuk urusan penggiliran berkenaan.
"Setakat ini, giliran terkini tempoh menunggu untuk menunaikan haji adalah 83 tahun," katanya dipetik portal berkenaan.
Menurut Asyraf, rayuan boleh dibuat melalui surat dihantar kepada
mana-mana cawangan TH atau datang terus ke ibu pejabat TH di Jalan Tun
Razak di ibu negara.
Mengulas berhubung fitnah terhadap TH itu, Asyraf Wajdi berkata
sepanjang tempoh 1 Februari hingga 31 Mac lalu ketika viral mengenai
kedudukan kewangan TH tersebar, seramai 3,954 orang pendeposit menutup
akaun mereka, manakala 3,105 orang membatalkan giliran haji mereka.
Kumpulan pendeposit itu kata beliau, tetap berkeras menutup akaun serta
membatalkan giliran haji kerana termakan fitnah walaupun dinasihati TH
akan kesannya
"Daripada jumlah itu, 45 sudah kembali mendaftar semula selepas
menyedari diri mereka tertipu. Namun, giliran terkini tempoh menunggu
menunaikan haji adalah 83 tahun.
"Inilah kesan fitnah yang bukan saja memudaratkan diri, bahkan mampu
meruntuhkan institusi agama yang menjadi mercu tanda kebanggaan umat
Islam yang sudah dinobatkan institusi pengurusan haji terbaik i dunia,"
katanya.
Kontroversi berhubung kedudukan kewangan TH menjadi viral beberapa
bulan lalu, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan surat
teguran terhadap Lembaga TH.
BNM dalam suratnya kepada TH yang bertarikh 23 Disember 2015 menyatakan
tahap rizab institusi itu mencecah paras negatif yang turut menggugat
kemampuannya membayar dividen seperti lazimnya.
Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, TH mengumumkan keuntungannya pada
2015 sebanyak RM3.53 bilion, dan bersedia mengagihkan RM3.23 bilion
dividen dan bonus kepada pendeposit.
Malah, TH dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan BNM telah
mengeluarkan satu kenyataan bahawa TH telah mengambil tindakan
sewajarnya bagi meningkatkan prestasi kewangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan