HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 April 2016

Persatuan jamin pemandu teksi ubah sikap, gesa peraturan Uber dan Grabcar diselaras

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam memberi jaminan bahawa pemandu teksi mampu mengubah sikap seperti mana kehendak pengguna yang membandingkan mereka dengan pemandu Uber dan Grabcar.
 
Setiausahanya, Razali Sahran dalam pada itu berkata, Uber dan Grabcar menjadi punca tanggapan negatif dilemparkan kepada industri teksi oleh pelbagai pihak, sedangkan aplikasi perkhidmatan alternatif itu menjalankan kegiatan yang disifatkan 'secara haram' dan belum dilesenkan.
 
Sebaliknya kata beliau, aplikasi ini jika mahu dibenarkan berterusan, ia perlu mengikut peraturan sebagaimana yang dilalui pemandu teksi. 
 
"Uber dan Grabcar dikenal pasti sebagai punca industri teksi negara menjadi kucar kacir di mana mereka telah menjalankan kegiatan ini tanpa kebenaran iaitu belum dilesenkan.
 
"Akibat daripada kewujudan Uber dan Grabcar ini, pelbagai tanggapan atau persepsi negetif telah dilemparkan kepada industri teksi.
 
"Industri teksi dicemuh, dikritik dan ditomah oleh pelbagai pihak dan tiada pembelaan dibuat," katanya di dalam sidang media di sini hari ini, sambil menambah pemandu teksi sedia bersaing dengan cara yang sihat. 
 
Menurut Razali, lambakan kereta Uber dan Grabcar yang tidak terkawal mengeruhkan keadaan dan menyebabkan berlaku tindakan luar kawalan sesetengah pihak.
 
Justeru, beliau menggesa agar penyelesaian segera perlu dilaksanakan bagi menangani masalah yang berlarutan hampir tiga tahun itu, demi kebaikan semua pihak.
 
"Oleh yang demikian pihak persatuan mencadangkan supaya operasi Uber dan Grabcar digantung dan satu kertas kerja cadangan dibuat bagi menaikkan kembali industri teksi.
 
"Dalam masa yang sama persatuan memohon satu pertemuan khas di antara pihak berkuasa dan juga persatuan yang berada di Shah Alam dilakukan dengan segera demi kepentingan semua," katanya.
 
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi sebelum ini memberitahu kerajaan akan melakukan transformasi terhadap sistem perkhidmatan teksi negara supaya setaraf dengan aplikasi Uber dan Grabcar. 
 
Ini berikutan ada cadangan supaya sistem perkhidmatan teksi sekarang dipertingkatkan agar lebih berpatutan dan mesra pelanggan.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga memberi jaminan akan menggariskan satu penyelesaian dan dasar yang adil dan saksama kepada pihak pemandu teksi, Uber dan GrabCar di Malaysia.
 
 

Tiada ulasan: