HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 April 2016

Umno-PAS disaran pertimbang cadangan Dr Zakir Naik untuk bentuk kerajaan campuran - Penganalisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umno dan PAS wajar mempertimbangkan untuk mewujudkan kerajaan campuran sebagaimana yang dicadangkan tokoh pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik, demikian menurut penganalisis geopolitik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali.
 
Dihubungi Antarapos, beliau berkata penyatuan tersebut secara tidak langsung dapat memperkuatkan lagi Islam di negara ini, di samping membawa pelbagai kejayaan untuk negara..
 
"Ini satu cadangan yang murni dari seorang tokoh agamawan. Dan ia perlu difikirkan oleh kedua-dua parti politik. 
 
"Terpulang kepada pimpinan Umno dan PAS dalam bagaimana menerima keadaan itu. 
 
"Mungkin beliau (Zakir) tidak faham situasi politik Umno dan PAS. 
 
"Tetapi atas dasar kesatuan keagamaan untuk mempertahankan Islam, maka saya berpandangan beliau mengutarakan dua parti tersebut duduk semeja demi perpaduan ummah dan kepentingan Melayu," katanya.
 
Semalam, Dr Zakir dilaporkan sebagai berkata, pembentukan kerajaan campuran Umno-PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan dan dalam masa sama dapat mengukuhkan Islam.
 
Pendakwah antarabangsa yang dilanda kontroversi sebelum ini ekoran lawatannya ke Malaysia, bagaimanapun berkata beliau bukan mencadangkan dua parti politik Islam utama negara ini untuk bergabung, sebaliknya berpendapat adalah lebih baik jika kedua-duanya membentuk kerajaan campuran.
 
Dr Zakir, pada beberapa hari lalu mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Beliau dalam masa yang sama berpandangan kedua-dua pemimpin berkenaan bersedia untuk bekerjasama dan menyifatkan ia amat baik untuk Islam jika usaha itu berjaya direalisasikan.
 
 

Tiada ulasan: