Tan Sri Abu Zahar Ujang - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
KUALA LUMPUR - Tan Sri Abu Zahar Ujang berjanji akan terus menabur baktinya kepada negara dan bangsa walaupun akan menamatkan perkhidmatannya selama dua penggal sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 25 April ini.
Janji tersebut diikrarkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Tamat Tempoh Perkhidmatan beliau di sini malam ini.
"Kepada Perdana Menteri, selagi nyawa masih ada, saya akan berusaha setakat yang mampu untuk memberi khidmat bakti kepada negara dan bangsa. Itu janji saya," katanya.
Najib hadir sebagai tetamu kehormat majlis yang dihoskan Parlimen Malaysia itu dan turut melancarkan buku nukilan Abu Zahar 'Yang Dipertua Dewan Negara ke-16' malam ini yang memaparkan pengalamannya selama enam tahun sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.
Abu Zahar, 72, bekas presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) pada 26 April 2010 dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-16 menggantikan Datuk Wong Foon Meng yang tamat perkhidmatan pada 12 April 2010.
Abu Zahar memulakan kariernya pada 1964 sebagai Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jawatan terakhir sebagai timbalan penguasa polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979.
Pada 1980 hingga Jun 1986, Abu Zahar meneruskan profesion guaman di ibu negara sebelum dipilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) kawasan Pilah dan dilantik anggota Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.
Pada 1991, beliau mempertahankan kerusi Dun berkenaan sebelum dipilih sebagai anggota Parlimen Kuala Pilah selama satu penggal bermula 1995 hingga 1999.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam ucapannya menyifatkan Abu Zahar sebagai ketua warga Parlimen yang prihatin, berdisiplin, teliti, tekun, dan tenang.
"Dalam menjalankan tugasnya, kami ingat bahawa pengalaman dan pengetahuan luas yang dimiliki oleh Tan Sri sebagai bekas anggota PDRM, pengamal undang-undang dan mantan anggota Dewan Rakyat telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk memartabatkan institusi Parlimen," katanya.
Pandikar Amin berkata di bawah pimpinan Abu Zahar, Dewan Negara telah menyaksikan peningkatan dan kualiti perbahasan anggota-anggota dewan dan ia sedikit sebanyak telah menangkis persepsi orang awam yang menganggap Dewan Negara hanyalah 'rubber stamp' semata-mata. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan