Oleh Datuk Abdul Jalil Ali
TANPA
memilih bulu, apa yang salah kita kena kata salah. Tidak perlu banyak
alasan dan ‘ding-dong-ding-dong’ yang entah apa-apa itu. Baik anak
seluang, bapak haruan, piranha ganas, hatta ikan paus berskala ‘Jaws’,
sekali masuk jaring jangan dilepaskan
Maka sekiranya Lim Guan Eng memang dibuktikan bersalah, beliau patut menerima hukuman setimpal, sama seperti bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo yang dihukum penjara gara-gara rasuah.
Ada dakwaan di
Parlimen – dibangkitkan oleh YB Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya –
konon Ketua Menteri Pulau Pinang @ anak Lim Kit Siang itu membeli
hartanah di Jalan Pinhorn, Georgetown, pada harga di bawah pasaran.
Banglo
dua tingkat atas tapak berkeluasan 10,161 kaki persegi @ 943.98 meter
persegi itu dibeli pada 25 Oktober tahun lalu dengan harga RM2.8 juta,
sedangkan nilai pasaran sebenar dianggarkan RM6 juta hingga RM6.5 juta.
Tambah
kontroversi lagi apabila Lim dilaporkan membeli banglo itu daripada
Phang Li Koon, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat
yang membeli tanah Taman Manggis pada 2012 bagi membina sebuah hospital
pakar.
Tidak menghairankan untuk beberapa hari
setelah dakwaan di Parlimen itu, Guan Eng dihentam ‘kaw-kaw punya’ oleh
seteru-seteru politiknya. Pagi petang siang malam ada sahaja kenyataan
daripada pihak tertentu membantai beliau habis-habisan.
Ada
tunjuk perasaan, angkat sepanduk, hantar memorandum, dan macam-macam
laporan polis dibuat kerana pemimpin DAP itu konon cakap tidak serupa
bikin; hendak memerangi rasuah tetapi dikatakan membeli rumah cara
meragukan.
Malah, sebuah stesen TV tempatan,
setiap hari menyerang pemimpin Pulau Mutiara menerusi liputan berita
pada waktu prima. Isu banglo di Jalan Pinhorn itu diberi liputan hampir
setengah jam, kalah isu-isu besar lain.
Anehnya
tidak pula stesen berkenaan memberi liputan meluas terhadap songlap RM
ratusan juta yang dilakukan oleh seorang pegawai di Kementerian Belia
& Sukan, walaupun menteri berkenaan mengakui penyelewengan wang
rakyat dalam kes tersebut.
Pelbagai pihak mahu
KM segera dihukum kerana isu RM2.8 juta. Mereka tidak mahu YAB terlepas,
sedangkan yang empunya diri telah sejak awal menegaskan beliau bersedia
memberi segala keterangan dan kerjasama untuk membantu siasatan.
Ada
yang terlalu bersemangat, marah-marah pada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), menuduh agensi bebas itu memilih bulu dan
sengaja melengah-lengahkan siasatan kes berkenaan.
Padahal
SPRM tidak ada sebab untuk menangguhkan siasatan ke atas Guan Eng.
Seperti yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, tuduhan
sesetengah pihak itu adalah tidak berasas.
Tegas
Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM itu, seperti yang dilaporkan Bernama
semalam: “Perkara itu (pembelian banglo) perlu disiasat secara rapi,
prosesnya belum lagi selesai. Memanggil Lim untuk ditemu duga tanpa
siasatan penuh, bukan amalan SPRM.”
Serahkan
kepada pihak berwajib untuk menyiasat. Orang ramai, lebih-lebih lagi
seteru KM, tidak perlu memandang serong terhadap agensi berkenaan. Semua
orang pun tahu RM2.8 juta bukan satu-satunya kes dalam fail SPRM.
Ada
sekian banyak skandal mega negara yang jauh lebih hina daripada apa
yang terjadi di Pulau Pinang, kini sedang disiasat. Ada kes yang terlalu
rumit, berbelit-belit dan melibatkan jumlah RM ‘berjuta-juta-juta
lemon’ yang terpaksa dihentikan siasatan, diarahkan supaya fail ditutup.
Dibandingkan
dengan RM beratus juta duit rakyat – juga sekian banyak kereta mewah,
saham, simpanan di bank, jam tangan, berlian, beg tangan, pakej
pelancongan keluarga, dan lain-lain – yang disonglap secara
senyap-senyap oleh pegawai di kementerian berkenaan, banglo RM2.8 juta
itu sebenarnya tidak sebesar mana.
Malah,
kediaman sesetengah menteri, ketua menteri dan menteri besar, hatta
sesetengah pemimpin biasa di peringkat kampung pun jauh lebih besar dan
mewah dari banglo di Georgetown, sehingga selalu timbul pertanyaan: dari
mana dia orang dapat duit?
Tetapi itu tidak
sama sekali bererti Lim Guan Eng tidak perlu disiasat. SPRM tidak perlu
takut untuk menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang. Siasatlah secara adil,
telus dan menyeluruh; jangan sembunyikan walau sekecil hama.
Sekiranya
pada akhir siasatan nanti terbukti ada penyelewengan dalam isu banglo
RM2.8 juta itu, pihak yang bersalah mesti dihukum. Penyelewengan tetap
penyelewengan – tidak kira 28 sen, RM2.8 juta hatta RM2.8 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan