SHAH ALAM: Khutbah Jumaat hari ini menasihati semua pihak khususnya
penganut Islam agar tidak melempiaskan perasaan tidak puas hati menerusi
demonstrasi atau tunjuk perasaan sebagai cara untuk menukar sesebuah
kerajaan.
Khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu
berkata, himpunan tunjuk perasaan hanya akan mengundang campur tangan
asing dalam pentadbiran yang akhirnya bakal mewujudkan situasi huru-hara
dalam negara.
Tanpa menyatakan secara spesifik mengenai demonstrasi berkenaan, ia
dipercayai merujuk Himpunan BERSIH 5 yang akan diadakan esok di ibu
negara.
"Dalam hal ini, Islam telah menunjukkan suatu kaedah yang sesuai untuk
mengubah kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah iaitu
dengan cara nasihat, berdoa, dan membantu pemerintah dalam hal-hal
kebaikan sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW.
"Kaedah ini sama sekali tidak boleh diubah dengan cara yang menyalahi
syarak sebagaimana cara demonstrasi, perarakan, tunjuk perasaan, rapat
umum dan menyatakan bantahan beramai-ramai terhadap pemerintah secara
terang-terangan dalam perhimpunan umum," menurut khutbah berkenaan.
Sekiranya demontrasi tetap diteruskan, merujuk khutbah itu lagi, maka
ia akan menyingkap kelemahan pihak berkenaan kerana tidak mampu
menasihati pemerintah dengan cara yang betul.
"Tambahan pula, demonstrasi jalanan akan menimbulkan banyak mafsadah
seperti kerosakan harta awam, menimbulkan sentimen perpecahan, mencetus
ketegangan dan menjadi bibit perpecahan rakyat," menurut khutbah itu
lagi.
Walau bagaimanapun, ujar khutbah lagi, Islam tidak menyekat kebebasan,
namun ia perlu berlandaskan batas-batas yang ditentukan agama.
Himpunan BERSIH 5 yang akan berlangsung esok mensasarkan beberapa
lokasi di ibu negara sebagai tempat perkumpulan sebelum berarak menuju
Dataran Merdeka.
Himpunan esok dijangka panas ekoran tindakan penyokong Gerakan Baju
yang turut serta turun padang bagi menghalang himpunan anti-kerajaan
itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan