Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah
Zainuddin menafikan kerajaan telah menarik balik subsidi minyak masak.
Katanya, dakwaan itu tidak benar sama sekali, bahkan subsidi masih diteruskan dengan penanggungan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, bagi
meringankan beban kerajaan daripada menanggung subsidi yang tinggi,
kementeriannya telah memperkenalkan pelan rasionalisasi bagi pembelian
minyak masak.
Mengikut pelan itu, setiap
pembeli iaitu ditumpukan kepada golongan sasar perlu membeli satu
kilogram minyak masak paket plastik atau polybag.
"Jika
mereka merasakan satu kilogram tidak mencukupi untuk keperluan harian,
mereka boleh membeli mengikut pakej harga pasaran semasa.
"Tetapi minyak bersubsidi ialah yang satu kilogram dalam paket plastik. Minyak
ini dikhususkan untuk kumpulan sasaran iaitu golongan berpendapatan
rendah," katanya menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz
(BN-Tanah Merah) menerusi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di
Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Hamzah, kementeriannya telah mengarahkan penguatkuasa di
seluruh negara melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi
memastikan tidak berlaku penyorokan minyak masak oleh pembekal mahupun
pemborong.
Mengulas lanjut, kata beliau, kerajaan telah menanggung subsidi
yang tinggi berikutan harga minyak masak di pasaran dunia naik daripada
RM2,300 pada 2015 kepada RM3,000 sehingga September lalu. -
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan