BATU GAJAH: Laporan siasatan kes gerabak kargo tergelincir dan terbalik
di Kampung Bakap, dekat sini, akan turut diserahkan kepada Polis Diraja
Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ridhwan
Arshad berkata, laporan yang dijangka siap dalam masa dua minggu itu
juga akan diberikan kepada beberapa agensi lain yang terbabit dalam
kerja pembersihan lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya kini sedang mengumpul data dan hasil siasatan
berhubung kes itu untuk dihantar kepada Kementerian Pengangkutan dan
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk penilaian dan tindakan
lanjut.
"Hasil siasatan itu dijangka siap dalam masa dua minggu dan laporan itu
turut dihantar ke beberapa agensi termasuk PDRM dan bomba untuk rujukan
mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari.
Tinjauan pemberita mendapati beberapa kakitangan KTMB giat membersihkan
landasan kereta api kedua selepas gerabak kargo yang tergelincir itu
dialihkan sepenuhnya.
Beberapa kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan SPAD turut berada
di lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan terhadap proses pembaikan di
landasan berkenaan.
Ridhwan berkata, kehadiran kakitangan TM bagi memastikan sistem isyarat dan komunikasi di landasan itu berjalan lancar.
"Selepas pengumuman dibuat oleh Pengerusi KTMB (Datuk Ir Nawawi Ahmad)
berhubung ETS mula beroperasi pada Ahad lalu, kita tidak dapat
memastikan 100 peratus mengenai keselamatan penumpang, namun segalanya
berjalan lancar semalam dan hanya berlaku kelewatan 30 minit ketika ETS
melalui Batu Gajah.
"Jadi kedatangan TM untuk memastikan isyarat dan komunikasi tiada
gangguan demi memastikan keselamatan penumpang ketika menggunakan ETS.
"Sejak insiden itu, pegawai dan anggota SPAD turut berkunjung ke lokasi
bagi memastikan kerja pembersihan dan pembaikan berjalan lancar selain
memastikan rungutan orang awam berhubung kelewatan ETS terjawab,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan