Kenaikan minyak bermula hari ini tidak patut dilakukan dalam masa pengguna sedang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan berkata, kenaikan harga bahan api ini akan memberikan kesan berantai kepada peningkatan harga barangan lain yang dijual dalam pasaran.
"Selepas kenaikan harga minyak ini, dijangka harga minyak masak dan kadar tol pula akan dinaikkan dalam masa terdekat," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Berkuatkuasa pada hari ini, harga runcit bagi RON95, RON97 dan Diesel dinaikkan sebanyak 15 sen menjadikan masing-masing dijual kepada pengguna pada harga RM1.95, RM2.30 dan RM2.00 per liter.
Nasruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh memberitahu, rakyat berhadapan dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar, kesan daripada kenaikan kos sara hidup setelah pelaksanaan GST dan penurunan subsidi terhadap barangan keperluan.
"Ini ditambah pula dengan peluang pekerjaan yang terhad, menyebabkan tabungan rakyat semakin menipis. Kerajaan dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi cabaran ekonomi kini iaitu dengan menaikkan cukai dan mengurangkan subsidi. BR1M dan pelbagai pemberian lain hanyalah bersifat 'ubat sementara' dan seumpama memberi ikan bukannya kail kepada golongan yang memerlukan," tegasnya.
Tidak cukup dengan itu, Nasruddin berkata, rakyat perlu membayar lebih untuk meneruskan kehidupan, kesan subsidi yang dikurangkan.
"Setiap hari duit belanja rakyat dicatu, berbeza dengan para menteri yang ada elaun untuk menampungnya," katanya.
Dalam masa yang sama, Nasruddin berkata, harga baru itu tidak bertepatan dengan harga semasa minyak mentah global yang berada pada purata harga AS$43.93 setong setakat ini dan bagi keseluruhan tahun 2016 ia diunjurkan berada pada purata harga AS$44.78 setong dan dianggap masih rendah kerana berada di bawah paras AS$50 setong.
"Bahkan, harga bahan api ini meneruskan kejatuhannya hari ini selepas pengeluar bukan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tidak menyatakan sebarang komitmen untuk menyertai usaha mengehadkan paras output bagi meningkatkan harga bahan api itu.
"Jadi, mengapa kerajaan masih menaikkan harga runcit bahan api ini?
"Kerajaan sepatutnya menetapkan harga siling bagi harga runcit petrol dan Kerajaan mesti menampung lebihan kos daripada harga siling tersebut dengan subsidi. Ini kerana penentuan harga petrol berdasarkan sistem apungan terkawal sentiasa mendedahkan rakyat kepada kenaikkan harga petrol secara berterusan," katanya.
Sementara itu, kerajaan wajar mengkaji semula formula penentuan harga petrol dan diesel, dengan mengambil kira aspek perubahan harga minyak global, rizab penampan negara dan kadar inflasi tempatan sebagai faktor penentu.
Beliau juga mencadangkan setiap menteri boleh menunjukkan teladan dengan pemotongan 20 peratus gaji bulanan serta memulangkan elaun minyak, tol, percutian, dan keraian, supaya mereka dapat merasai bebanan golongan bawahan.
Penjimatan daripada 'perbelanjaan protokol' menteri, projek mewah yang kurang memberi impak kepada rakyat terbanyak serta cegahkawal sepanjang masa terhadap ketirisan dan penyalahgunaan dana negara boleh dijadikan sebahagian daripada mekanisma untuk menampung kenaikan kos sara hidup rakyat, katanya.--MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan