MALAYSIAN MIRROR
Isu pencemaran air di sempadan Selangor-Pahang dan Selangor-Negeri Sembilan terus mendominasi media sosial dan laporan berita mutakhir ini.
Pencemaran air itu boleh dikatakan serius sehingga memaksa Kerajaan Selangor yang diketuai Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali terpaksa mengambil tindakan menutup dua Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini.
Akibatnya, ratusan ribu penduduk yang menggunakan air di Lembah Klang termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berdepan dengan catuan air.
Memang ramai yang marah dan pelbagai spekulasi timbul kerana catuan air itu termasuk pengguna yang menanggung kerugian kerananya.
Mohamed Azmin dipersalahkan oleh kumpulan terbabit walaupun beliau turun padang dan serius menggerakkan jentera kerajaan menangani pencemaran yang menyusahkan itu.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong turut ke lokasi kejadian bagi memantau sendiri usaha mengekang pencemaran air itu.
Yang pasti, selepas kedua-dua pemimpin negeri berkenaan ke lokasi kejadian sejak seminggu lalu, Mohamed Azmin dan Elizabeth secara konsisten percaya bahawa wujud unsur sabotaj dalam perkara ini.
Agensi kerajaan negeri bertindak segera melapor, mengumpul bukti dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa bagi menyokong dakwaan berkenaan.
Beberapa kenyataan Mohamed Azmin ketika ditemui media, menegaskan bahawa pasukan pemantau diletakkan di kawasan ‘hot spot’ di Sungai Semenyih dan Sungai Langat untuk mengesan pencemaran.
Bukti yang didedahkan setakat ini menunjukkan pencemaran dikesan berpunca dari Sungai Semantan, Pahang dan Sungai Buah di Negeri Sembilan yang mana mengalir ke sungai-sungai di Selangor.
Sehubungan itu, Mohamed Azmin dan barisan kepemimpinan Selangor menggesa kerajaan Pahang dan kerajaan Negeri Sembilan bertindak mengatasi masalah berkenaan, susulan pencemaran sungai adalah bermula dari punca air di sempadan luar Selangor.
Malangnya, barisan kepemimpinan kerajaan Pahang dan kerajaan Negeri Sembilan seakan-akan mengambil lewa akan keperihan Kerajaan Selangor mengatasi isu pencemaran itu.
Kedua-dua kerajaan negeri berkenaan terus dalam sindrom penafian mengenainya dan seboleh-bolehnya mahu menepis setiap persoalan yang dilemparkan.
Ketika artikel ini ditulis, batang hidung Menteri Besar Negeri Sembilan dan Pahang belum kelihatan di kawasan sungai di negeri masing-masing yang dikesan tercemar itu.
Sedangkan Menteri Besar Selangor dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sudah turun padang dan melihat sendiri pencemaran yang berlaku.
Perkembangan ini sangat dikesalkan dan sikap lepas tangan kepemimpinan Kerajaan Negeri Sembilan dan Pahang amatlah tidak bertanggungjawab.
Tidak kasihankan kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan Pahang melihat rintihan rakyat Selangor yang terpaksa mengangkut baldi dan mandi sehari sekali akibat ketiadaan air?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan