Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafikan
tulisannya di Facebook beberapa hari lalu adalah kritikan terhadap
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dihubungi Antarapos, beliau sebaliknya berkata kenyataannya itu sebagai
merujuk sokongan kecaman yang disuarakan pemimpin tertinggi Kesatuan
Ulama Islam Sedunia (KUIS), Dr Yusuf al-Qaradawi terhadap kehadiran
pemimpin Islam ke persidangan anjuran Lembaga Taqrib Mazhab
Antarabangsa, di Tehran baru-baru ini.
"Hadi mungkin mempunyai alasan tersendiri. Pertama, saya ulas hal ini merujuk kepada Qardhawi, bukan Hadi.
"Saya tidak tahu mengapa respon saya terhadap surat Qardhawi agak
lambat. Sebelum itu, orang perkatakan tentang kehadiran Hadi. Kemudian
PAS respon isu itu dengan menyerang saya, sedangkan saya tidak sentuh
mengenai Hadi," katanya.
Dalam tulisannya di Facebook Selalu lalu, Asri menyatakan sokongannya
terhadap kecaman Qaradawi yang terhadap kunjungan Hadi ke Iran.
Beliau dipetik sebagai menulis "Bukan isu menziarahi Iran ataupun
bersalaman dengan Syiah, tapi isu kejahatan mereka pada waktu ini dan
dalam suasana yang seperti ini. Mereka yang matang siyasah, tegap
keinsanan serta teguh pegangan pasti cuba mengelakkan hal ini".
Diajukan lebih lanjut tentang kewajaran kehadiran Hadi di persidangan
itu, Asri menekankan soal masa yang didakwa sebagai tidak sesuai, apatah
lagi di kala rakyat Syria 'disembelih dengan kejam' dan campur tangan
Iran dalam peperangan berkenaan.
Iran dianggap satu daripada negara yang menyumbang serta menyokong Presiden Bashar al-Assad menentang pemberontak di Syria.
"Ramai orang pernah ke Iran, saya juga pernah ke sana, maksudnya
melawat. Namun isunya bukan pergi ke Iran. Sebaliknya masa yang tidak
kena. Di masa yang Iran mengebom Syria, yang mana semua dunia Arab tahu
hal ini.
"Sebagai adil kepada Hadi kita kena lihat beebrapa keadaan. pertama,
kita kritik kerana semua orang tahu penglibatan Iran dalam peperangan di
Syria," demikian menurutnya lagi.
Asri juga kemudiannya mempersoalkan apakah Hadi bersuara lantang dalam
menegur kezaliman Syria ke atas rakyatnya di Allepo, ketika berucap
dalam persidangan itu.
"Jika ucapan Hadi itu menonjolkan bantahan umat Islam terhadap Islam,
pada saya, apa yang Hadi buat itu ok lah. Namun secara peribadi yang
saya lihat, setakat yang dilaporkan media, saya tidak nampak apa-apa
kritikan yang tegas terhadap Iran. Sebaliknya ucapan Hadi memuji Iran
dari awal hingga akhir.
"Hadi patut mempunyai kenyataan yang lebih tegas dan jelas. Jika itu
berlaku, saya rasa pengkritik Hadi tidak ada banyak alasan untuk
mengkritik," tegas Asri.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali terdahulu mempertahankan kunjungan Hadi ke muktamar berkenaan.
Ujarnya kunjungan Hadi itu bukan kali pertama malah Ahli Parlimen
Marang itu menyertai himpunan tersebut sejak puluhan tahun yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan