Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar, Azizul Osman & Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Pemusnahan etnik Rohingya di Myanmar melampaui batas
kemanusiaan dan Malaysia terpaksa menyatakan bantahan terhadap negara
itu, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Justeru, beliau nekad untuk menghadiri Himpunan Solidariti Ummah bagi
membantah penindasan ke atas golongan minoriti itu, meskipun bakal
dikecam Myanmar.
"Semalam (Jumaat) saya nak bagitahu tuan-tuan, pejabat Presiden Myanmar
keluar kenyataan. isi kandungan itu katanya kalau saya sebagai perdana
menteri hadir dalam rapat umum esok, dia akan anggap saya campurtangan
dalam urusan dalaman Myanmar.
"Ini bukan soal campur tangan dalam urusan negara Myanmar. Ini soal
bagaimana kita mempertahankan nilai kemanusiaan dan nilai universal.
"Saya nyatakan bahawa saya akan hadir ke himpunan solidariti Rohingya.
Saya tidak akan berganjak. Yang hadir kerana bukan Najib Razak, yang
hadir adalah Najib Razak yang mewakili tiga juta ahli ahli Umno.
"Macam mana dia mahu kata ini urusan dalaman sebab kalau dia tidak
selesaikan masalah itu, mereka ini akan jadi orang pelarian ke
Malaysia," tegas Najib ketika menyampaikan ucapan penangguhan
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
hari ini.
Najib dijangka berkongsi pentas dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang esok, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk mengecam
tindakan zalim kerajaan Myanmar ke atas warga Rohingya.
"Ikut rekod 56,000 orang Rohingya dan Myanmar yang memegang kad UNHCR.
Itu yang kita tahu, yang tak tahu berapa? Yang ada dicelah-celah pokok
sawit, ada dalam belukar tu?," kata Najib.
Najib dalam sidang medianya selepas selesai menangguhkan PAU 2016
bertegas, sebagai rakan dalam gabungan ASEAN yang bertanggungjawab,
Malaysia perlu membuat bantahan.
"Betul kita tak boleh campur tangan negara tersebut, namun ianya sudah bertentangan dengan Piagam ASEAN.
"Kejadian itu menyebabkan pelarian melimpah ruah ke Malaysia, ratusan
ribu menunggu dan kalau penganiayaan berterusan sudah tentu akan menjadi
masalah. Kita kena bertindak sekarang, kalau tak terlambat," katanya.
Najib berkata Malaysia tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh
tanpa berbuat apa-apa di kala kerajaan Myanmar terus menzalimi etnik
Rohingya.
"Bila manusia dizalimi dengan sangat dasyat kita tak boleh biarkan,
sejarah akan menghukum kalau kita tak buat apa, duduk diam, padahal
ramai mati secara kejam," ujar Najib.
Selain isu Rohingya, ucapan penggulungan Najib turut menyentuh tindakan
tokoh Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyerang kepimpinannya dan
berlagak seperti tiada kesalahan yang dilakukannya terhadap rakyat dan
negara ini.
"Banyak cerita pasal Mahathir. ITP, 'Sweetheart deal', tol, penswastaan
MAS, PERWAJA, Forex. (Kalau tak betul) kenapa beliau tak saman? Bila
hal saya, beliau suruh saya saman," tempelak Najib.
Dr Mahathir kini menaja penubuhan parti baru, Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) dan mendakwa mempunyai sokongan ramai bekas ahli Umno
yang kecewa dengan kepimpinan Najib.
Justeru, Najib mencabar Dr Mahathir untuk mengadakan perhimpunan yang
sama seperti Umno sekiranya benar partinya itu mendapat sokongan ramai.
"Sekarang jangan nak cakap pasal Umno sebab kamu dah tiada dalam parti.
Jangan jadi orang yang gila talak pula. Buatlah konvensyen parti baru
dan tengok muka-muka di sana, penuh dewan pun belum tentu," ujarnya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan