shahbudindotcom
Untuk
menafikan kemungkinan wujudnya kerjasama antara Pas dan UMNO berikutan
kebersamaan Hadi Awang duduk sepentas, bermesra dan berpimpin tangan
dengan Najib Razak dalam program Solidariti Rohingya, Tuan Ibrahim Tuan
Man pantas menyifatkan andaian itu sebagai fitnah belaka.
Kata
Timbalan Presiden Pas itu, Pas tetap akan bersaing dengan UMNO dan
sebarang bentuk kerjasama tidak mungkin berlaku kerana ia melibatkan
soal pembahagian kerusi.
UMNO,
katanya tidak mungkin mengizinkan kerusi-kerusinya untuk dilepaskan
kepada Pas dan begitu juga, Pas pasti tidak akan melepaskan kerusi
miliknya kepada UMNO.
Oleh
itu, mustahil Pas dan UMNO akan mengadakan kerjasama politik dan adalah
suatu bentuk fitnah mereka yang mencanangkan demikian, ujar beliau.
Apa
yang mungkin Tuan Ibrahim terlupa ialah kerjasama boleh berlaku dalam
pelbagai bentuk. Ia tidak terhad dari segi pembahagian kerusi dan setuju
berpakat semata-mata.
Berkeras
untuk kekal sendirian dan membiarkan berlakunya pertandingan tiga
penjuru juga boleh dianggap suatu bentuk kerjasama yang secara tidak
langsung untuk memberi kelebihan kepada UMNO dan BN serta akan menafikan
kemenangan pihak lain.
Harus
disedari bahawa Najib berbaik dengan Pas bukanlah untuk kepentingan
Islam, Melayu, ummah, rakyat atau apa-apa yang lain yang bercirikan
kebaikan. Ia hanya bertujuan politik untuk mengekalkan kuasa UMNO dan
kedudukannya sebagai Perdana Menteri setelah tembelang skandal 1MDB dan
kemasukan wang beribu-ribu juta ke dalam akaun peribadinya terdedah
kepada umum dan menjadi bualan seluruh dunia.
Najib
tidak mungkin mengenyit mata kepada Pas jika kedudukannya tidak
terancam dan kuasanya benar-benar selamat. Pas hanyalah pelampung untuk
beliau menyelamatkan dirinya.
Apakah menyelamatkan masa depan Najib yang skandalnya terang lagi nyata merupakan amar makruf nahi mungkar bagi Pas?
Sebagaimana
Pas tidak mungkin melepaskan kerusinya kepada UMNO dan UMNO juga pasti
tidak akan melepaskan kerusinya kepada Pas, UMNO sebenarnya memang
mengharapkan berlakunya pertandingan tiga penjuru.
Sebagaimana
UMNO akan menjadi lebih susah jika wujud kerjasama rasmi dengan Pas,
Pas juga bakal menghadapi penolakan daripada penyokongnya sendiri
kiranya berbuat demikian.
Dengan
kelebihan media, penggunaan jentera kerajaan dan wang tanpa sempadan,
pertandingan tiga penjuru pasti lebih memudahkan UMNO untuk mencapai
kemenangan.
Dengan
itu, sedarkah Pas bahawa pertandingan tiga penjuru turut juga merugikan
mereka, walaupun dalam waktu yang sama dapat menunjukkan kepada
penyokong di kampung-kampung bahawa mereka kononnya kekal istiqamah
dalam perjuangan?
Apakah
kemenangan Pas lebih baik atau lebih buruk jika berlaku tiga penjuru?
Apa gunanya kekal bersaing dan istiqamah dalam perjuangan jika asyik
kalah memanjang?
Bukankah
lebih molek jika Pas berunding baik-baik dengan parti-parti pembangkang
lain dan bergerak sederap untuk mengalahkan UMNO, seterusnya dapat
meletakkan diri sebagai sebahagian daripada kerajaan baru yang
menggantikan BN nanti?
Jika
benar ingin kekal bersaing, Pas harus sedar kedudukannya sebagai salah
satu parti pembangkang ialah untuk saling bekerjasama dan bukan
berlawan sesama sendiri?
Yang
menjadi persoalan ialah mengapa Hadi Awang tidak segan mempamerkan
kemesraan berlebih-lebihan terhadap Najib, tetapi dalam masa yang sama
menunjukkan sikap keras untuk bekerjasama dengan rakan-rakan pembangkang
yang bertujuan menyelamatkan negara ini?
Di
pihak UMNO, kiranya mereka ikhlas kepada Pas, ia tidak sekadar berbaik
dan bekerjasama dalam perkara-perkara tertentu sahaja dan kemudian
membiarkan pertandingan tiga penjuru berlaku, sebaliknya mempelawa Pas
secara rasmi untuk menyertai BN.
Inilah
masanya untuk melupakan soal kerusi dan mengutamakan mengenai soal
Islam, Melayu, ummah dan rakyat secara jangka panjang dan melalui
hubungan yang berkekalan.
Merelakan
pertandingan tiga penjuru hanya menjadikan Pas sebagai perkakas kepada
Najib dan UMNO serta pasti mereka tidak dihargai lagi selepas kemenangan
sudah berada genggaman.
Bolehkah
Pas membayangkan apa nasib mereka selepas pilihanraya nanti,
lebih-lebih lagi jika ketika itu UMNO memiliki kerusi yang lebih selesa?
Adakah
Pas akan terus digilai, dijemput bersama dalam mana-mana perhimpunan
seperti Rohingya dan sebarang usul persendirian di Parlimen akan diberi
laluan?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan