Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Penganalisis politik mengingatkan kedudukan kerusi Parlimen
yang dimiliki PAS ketika ini adalah disebabkan penggabungan parti itu
dengan pembangkang yang lain.
Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose yang juga merupakan Ketua Kluster
Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara
(MPN) menjangkakan, PAS perlu bersedia berdepan dengan risiko kehilangan
lebih banyak kerusi jika tetap dengan pendirian untuk bersendirian pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"PAS tak banyak pilihan dan kemenangan mereka pun sangat-sangat
bergantung kepada sokongan dulu DAP dengan PKR. PAS tahu kalau
bersendiri sangat-sangat mencabar untuk menang.
"Sudah (pasti hilang banyak kerusi) kalau inilah pendirian PAS, (PAS
boleh pilih) samada untuk mendekati BN atau akan berbaik-baik (dengan
pembangkang), itu yang kita tunggu," katanya kepada Antarapos.
Malah katanya PAS sedar akan risiko yang bakal diambil ini akan merugikan parti pimpinan Datuk Seri Abd Hadi Awang itu.
"Cara PAS letakkan diri sekarang lebih (pentingkan) prinsip perjuangan,
bukan soal kalah menang lagi dah. Prinsip perjuangan nak bangunkan
Islam, dia dah tak nak bersengkongkol dengan DAP. Walaupun dia tahu
kesan dia sangat-sangat mencabar," ujar beliau.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak PAS mungkin akan mencapai satu
persefahaman yang berbeza di Selangor disebabkan hubungan baik yang
terjalin di negeri itu sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah 2008.
"Tapi dalam kes Selangor contohnya, kemungkinan besar kalau tak ada
pilihan lain mereka akan buat pakatan pilihan raya yang lain. (Fokus)
strategi pilihan raya saja, bukan bergabung, mungkin ada persefahaman,"
katanya.
Ramai pihak menjangkakan PAS akan meneruskan niat untuk bersendirian
pada PRU14 selepas menutup pintu rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM).
Bukan itu sahaja, parti itu juga bakal melihat kembali hubungan tahaluf siyasi PAS-PKR pada Muktamar mereka April depan.
Kedua-dua faktor ini dilihat mengukuhkan andaian bahawa tidak mustahil untuk PAS berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan