Cermin yang tertulis “Nothing To Hide” itu diserahkan
kepada wakilnya selepas Datuk Seri Jamal Yunos tidak hadir di SPRM
Selangor hari ini. VIDEO INSIDE
SHAH ALAM: Adun DAP hari ini menghadiahkan sebuah cermin yang tertulis “Nothing To Hide” kepada Datuk Seri Jamal Yunos selepas didakwa menyeleweng dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin menunggu Jamal hampir 20 minit di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan membawa 10 fail dokumen 60cm sebagai bukti berkaitan pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di bawah yayasan itu, yang dibuatnya.
Bagaimanapun, hasrat Yeo untuk bertemu Jamal tidak kesampaian apabila ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu tidak hadir.
Jamal hanya menghantar wakilnya, Penasihat Undang-undang Gabungan NGO Malaysia Datuk Mohd Imran Tamrin untuk membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan Yeo menyeleweng dana Yawas.
Yeo kemudian menyampaikan hadiah itu kepada Tamrin untuk diserahkan kepada Jamal.
Video Player
“Saya datang hari ini kerana berasa kita patut telus dan saya tidak takut. Saya sudah beri dokumen yang didakwa Jamal kepada pejabat tanah.
“Saya ke sini sebab nak beri hadiah istimewa iaitu cermin supaya mereka tengok diri sendiri juga. Jangan ‘double standart’,” katanya ketika ditemui di depan Pejabat SPRM Selangor.
Yeo berkata beliau sudah memberi penjelasan kepada SPRM berhubung dakwaan Jamal mengenai akaun dikatakan diselewengkannya.
Kelmarin, Yeo menafikan tuduhan Jamal dan berkata dokumen yang ditunjukkan Jamal adalah dokumen yang dikemukakannya kepada pejabat tanah dan daerah.
Yeo pada sidang media di pejabatnya sebelum ini tampil membawa 10 fail berisi dokumen setebal 60cm berkaitan pembayaran SMUE di bawah yayasan itu.
Jamal yang juga pengerusi Gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia membuat laporan polis terhadap Yeo pada 21 Mac lalu dan mendakwanya melakukan penyelewengan terhadap dana Yawas.
Jamal mendakwa Yeo sepatutnya menyerahkan wang diperuntukkan kepada waris si mati, seorang rakyat Selangor, bukan untuk tujuan lain atau peribadi.
Beliau mendakwa Yeo mengeluarkan wang peruntukan itu secara berterusan meskipun tiada individu yang meninggal dunia.
Lebih memburukkan keadaan, Jamal berkata ada waris si mati yang tidak mendapat wang berkenaan dan maklumat diterimanya menerusi aduan beberapa mangsa.
Sementara itu, suasana di depan pejabat SPRM itu sedikit kecoh apabila kehadiran Yeo tidak disenangi ahli Gabungan NGO Malaysia itu.
Tamrin berkata beliau hari ini meminta SPRM menyiasat Yeo yang didakwa menyeleweng dana Yawas.
“Saya ucap tahniah kepada Yeo yang hadir hari ini memberi kerjasama dalam membantu SPRM untuk menerangkan perjalanan akaun Yawas dan SMUE.
“Selebihnya, kami di pihak NGO, menyerahkan kepada SPRM untuk siasat jika ada sebarang ketirisan dan salah guna dana dalam dokumen yang diserahkan kepada SPRM,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan