Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Adakah
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad
sudah mengaku kalah bahawa baik partinya mahu pembangkang lain tidak
akan berhasil menumbangkan Umno-Barisan Nasional dalam pilihanraya umum
ke-14 kelak?
Yang diingat pemerhati politik ialah, Mahathir seorang pemimpin tegas
dan tidak mungkin mahu mengaku kalah. Jika beliau menetapkan sesuatu
sasaran, akan diperjuangkannya sampai berjaya.
Lihatlah betapa beliau menggerakkan Dasar Pandang Ke Timur sebagai mata
pedang melaksanakan kempen “Buy British Last” sebaik sahaja menduduki
kerusi Perdana Menteri pada 1981.
Tingkah itu menyerlahkan bagaimana Mahathir sebagai seorang
geostrategis yang menguasai dinamika kuasa di peringkat antarabangsa dan
cerdik pula memupuk persahabatan untuk mengimbangi pengaruh kelompok
lain.
PPBM mahu jatuhkan Najib?
Namun di senja kerjaya politiknya demi “memperbetulkan” tatakrama
politik di Malaysia hari ini beliau menubuhkan wadah khas, Parti Pribumi
Malaysia Bersatu (PPBM) untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak dan partinya, Umno.
Sebenarnya, Mahathir berkata demikian untuk melonjakkan harapan dan
peluang pembangkang. Beliau mahu supaya jika kalah sekalipun dalam PRU
14, beliau dan pembangkang lain sudah ada alasan untuk menjawab mengapa
kalah.
Katanya, kemenangan akan dicapai jika semua parti pembangkang bersatu.
Lantas itu partinya mengharapkan penyertaan PAS di dalam Pakatan Harapan
(PH) untuk sama-sama menumbangkan BN.
“PPBM bersungguh-sungguh nak kerjasama dengan PAS, berkali-kali kita
jumpa wakilnya dan mereka pada mulanya bersetuju, namun bila berjumpa
Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak bersetuju pula.
“Sehinggakan kita lewatkan penubuhan Pakatan Harapan kerana nak
dapatkan persetujuan PAS, tetapi PAS lebih utamakan hubungan rapat
dengan Umno.
“Dan akhirnya (usaha) kita ditamatkan sendiri oleh PAS, sedangkan kita
masih terbuka kerana kalau kita tidak bekerjasama dengan parti
pembangkang lain tidak mungkin kita menang,” katanya.
Dr Mahathir guna alasan PAS
Di sini kehebatan Mahathir terserlah. Beliau sebenarnya melancarkan
strategi “serampang tiga mata”. Pertama, beliau sudah dapat menjadikan
PAS sebagai alasan jika PH benar-benar gagal menyaingi Umno-BN.
Langkah ini bertujuan memupuk persepsi mengenai pilihan politik Hadi.
Mahathir mencongak bahawa ini boleh mencetuskan perbalahan dan pecah
belah dalam PAS.
Kedua, Mahathir cuba menggoncang keyakinan ahli PAS terhadap presiden
mereka Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang mahu digambarkannya mesra
Umno dan “mengkhianati” pembangkang.
Ketiganya, dengan menyindir rundingan PPBM dengan PAS mulai dingin
apabila Haji Hadi terbabit dalam perbincangan nampaknya mahu menanam
mesej bahawa Haji Hadi sudahpun membuat pilihan untuk bekerjasama dengan
Umno.
Mahathir mencongak “serangan” ini boleh membentuk persepsi mengenai
pilihan politik Hadi. Strategi Mahathir ini menepati naluri politik
“jika kita gagal tidak mengapa, asalkan PAS tidak boleh berjaya”.
Rundingan PPBM dengan PAS menemui titik noktah selepas parti Mahathir itu secara rasmi menjadi komponen PH Mac lalu.
Bagaimanapun Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
menjelaskan bahawa pendirian PAS tegas – ia boleh bekerjasama dengan
parti mana sekalipun dengan syarat parti berkenaan tidak ada hubungan
dengan seteru politiknya iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Di sini kekuatan politik Mahathir. Beliau sanggup “mengaku kalah”
tetapi sebenarnya mahu “merampas kemenangan” lebih besar apabila
saingannya mulai ‘besar kepala’ dan leka dengan hipnosis politiknya.
Dalam pada “lembut tengok” mengatakan PH tidak boleh menundukkan
Umno-BN, Mahathir sebenarnya melancarkan serangan terhadap wibawa PAS di
mata pengundi.
Jika berjaya, keberangkalian sebarang kerjasama PAS dengan Umno tentu tidak akan menjadi dan Mahathir akan menang lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan