HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Mac 2018

MCA SEPATUTNYA DESAK NAJIB PECAT NAZRI ATAU JIKA TIDAK, KELUAR SAJA DARIPADA BN!!

shahbudindotcom



Perang mulut antara MCA dengan Nazri Aziz terus berlarutan dan tidak ternampak ada tanda-tanda akan berhenti. Kedua-dua pihak kekal dengan pendirian dan "keras kepala" masing-masing serta enggan mengalah.

Hanya bermula dengan kritikan pedas oleh Nazri, termasuk menggelar taikun Robert Kuok sebagai "pondan" dan "ayam betina" yang hakikatnya cuma bersumberkan berita palsu seorang blogger pelarian dan ia lantas membuatkan rasa tidak senang kepada MCA,  perbalahan itu kini merebak dan melibatkan DAP pula.

Dikecam kerana hubungannya yang rapat dengan DAP dan tidak disenangi oleh oleh Ketua Pemuda MCA iaitu Chong Sin Woon, Nazri kemudiannya membidas dengan menganggap pemimpin muda MCA itu sebagai "gila"  kerana mahu menentukan dengan siapa beliau harus berkawan.

Terbaru ini Presiden MCA sendiri, Liow Tiong Lai menuduh Nazri sebagai pemimpin yang berpakat secara sulit dengan pembangkang daripada dalam BN.

Hari ini, kata beliau, MCA bukan saja berdepan dengan pembangkang yang semakin kuat, tetapi juga pemimpin dari dalam BN yang membuat pakatan sulit dengan pembangkang.

"Dia ialah menteri pelancongan yang telah membuat tuduhan tidak berasas terhadap Rober Kuok," kata Liow lagi

Susulan itu, sekumpulan ahli MCA seterusnya membuat desakan agar Nazri meletakkan jawatan sebagai anggota kabinet kerana penghinaannya terhadap Robert Kuok dianggap sebagai "duri dalam  daging" kepada BN.

Sebelum ini, Nazri dengan tiga menteri Cina daripada MCA dan Gerakan juga difahamkan "bertegang leher"  dalam mesyuarat kabinet Rabu lalu sehingga membuatkan Najib campurtangan untuk meredakan perang mulut antara mereka.

Dengan menteri bergaduh sesama sendiri melalui media dan di dalam mesyuarat kabinet dan ia terus berlaku sehingga kini, walaupun ia sebenarnya adalah berita gembira buat Pakatan Harapan menjelang PRU akan datang, hakikat paling nyata ialah ia menggambarkan kelemahan dan ketidakupayaan Najib mengawal keadaan.

Bukan saja Najib terhampak tidak dihormati, malah menteri-menteri juga terlihat tidak takut dengan beliau. Jika MCA dan Gerakan berpegang kepada prinsip bahawa perlekehan Nazri terhadap Robert Kuok tidak seharusnya dilakukan dan hanya bersumberkan berita palsu, mengapakah Nazri masih bertahan dengan pendiriannya dan tidak menunjukkan rasa takut kepada Najib?

Najib pula, mengapa tidak berani bersikap "jantan sedikit" dengan mengarahkan Nazri agar segera tutup mulut atau meminta maaf demi perpaduan BN?

Apakah antara Naib dan Nazri ada rahsia sesama sendiri yang hanya mereka berdua saja mengetahuinya?

Bagi MCA, jika benar mereka bersungguh dalam mempertahankan Robert Kuok yang dianggap ikon masyarakat Cina itu, sekadar mendesak Nazri meletaklan jawatan saja tidaklah memadai sebenarnya.

Apa jadi jika desakan letak jawatan itu tidak mahu dituruti oleh Nazri?

Kenapa MCA tidak berani memberi kata dua kepada Najib agar memecat Nazri  atau kiranya tindakan itu tidak diambil, MCA membuat keputusan keluar daripada BN?

Kata dua itu secara tidak langsung akan membolehkan MCA menilai sama ada Najib lebih sayangkan parti itu atau Nazri.

Sudah pasti, jika langkah itu berani diambil oleh MCA, parti itu bukan saja lebih dihormati dalam mempertahankan Robert Kuok yang dihina sebagai "pondan" dan "ayam betina" oleh Nazri, malah ia juga akan membuatkan taikun dan orang terkaya Malaysia yang berpengkalan di Hong Kong itu turut gembira dengan pembelaan MCA terhadapnya.

Jika tidak, apa yang dilakukan MCA sekarang ini tidak lebih suatu "lakonan"  semata-mata.


Tiada ulasan: