PUTRAJAYA: Sikap kerajaan negeri PKR Selangor yang kerap berubah dasar
mengakibatkan projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang sepatutnya
siap sepenuhnya pada 2017 terpaksa dilanjutkan sehingga 2021.
Projek bernilai RM3.7 bilion yang sepatutnya memberi kesan langsung
untuk bekalan air mencukupi dan berkualiti itu telah tertanguh begitu
lama sehingga ramai penduduk menderita dengan gangguan bekalan air
sebelum ini.
Menurut sumber Utusan Malaysia, perjalanan projek LRA Langat 2 kini
sepatutnya berjalan lancar namun kegagalan kerajaan PKR Selangor
mematuhi perjanjian untuk penstrukturan semula industri air di negeri
tersebut merencatkan kembali kelangsungan projek berkenaan.
"Fasa A LRA Langat 2 sudah siap sejak 2 Februari lalu dan kini dalam
proses ujian dan pentauliahan dengan bekalan air sebanyak 565 juta
seliter (MLD) sudah mula disalurkan ke LRA berkenaan dari Pahang.
"Bagaimanapun, kegagalan kerajaan PKR Selangor melengkapkan perjanjian
penstrukturan mengakibatkan kerajaan Persekutuan pula ketika ini
terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membayar kepada
kerajaan negeri Pahang," katanya.
Ujarnya berbanding LRA Semenyih yang hanya mengeluarkan 100 juta MLD,
LRA Langat 2 akan mengeluarkan sebanyak 1,130 juta MLD apabila
beroperasi sepenuhnya kelak.
"Kerajaan negeri perlu menjadi kerajaan yang bertanggungjawab dalam
mematuhi perjanjian, hak rakyat Selangor kepada bekalan air bersih tidak
boleh dinafikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan