PUTRAJAYA: Rakyat Selangor akan terus menderita akibat masalah bekalan
air berpanjangan selagi kerajaan PKR Selangor tidak melengkapkan
perjanjian bagi penstrukturan semula industri air di negeri berkenaan.
Cukup menyedihkan, margin simpanan bekalan air terawat di Selangor
ketika ini begitu rendah iaitu pada paras empat peratus iaitu jauh
ketinggalan berbanding paras margin yang baik sekitar 15 hingga 20
peratus, mahupun margin simpanan yang dimiliki kerajaan DAP Pulau Pinang
sebanyak 34.1 peratus, lapor Utusan Malaysia.
Malah, kesan yang ketara adalah 761 permohonan pembangunan baharu
termasuk perumahan, komersial dan industri yang bernilai kira-kira RM10
bilion terpaksa ditangguhkan sepanjang 2016 dan 2017 kerana Syarikat
Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tidak dapat memberi jaminan
bekalan air yang mencukupi.
Menurut sumber, masalah bekalan air di Selangor masih lagi berlanjutan
walaupun hakikatnya kerajaan Persekutuan telah melabur lebih RM22.3
bilion sepanjang 2010 hingga 2018 untuk infrastruktur bekalan air di
negeri itu termasuk projek mitigasi dan skim penstrukturan semula
industri air berkenaan.
“Di Selangor, katakan berlaku paip bocor, sepatutnya digantikan baru
tetapi apa mereka lakukan cuma simenkan sahaja, sedangkan paip itu sudah
begitu lama, selain itu, terdapat kira-kira 1,000 tangki air yang boleh
dikatakan kosong atau tidak berfungsi sepenuhnya kerana margin simpanan
air yang rendah.
“Semua perkara ini sepatutnya sudah dapat diatasi sekiranya perjanjian
penstrukturan air dilengkapkan, tetapi kerajaan negeri sengaja
melengah-lengahkannya kerana tidak mempunyai peruntukan untuk
perbelanjaan modal dan tidak mahu dilihat yang mereka sebenarnya dibantu
kerajaan Persekutuan,” katanya di sini hari ini.
Sehingga kini, penstrukturan semula industri air di Selangor tidak
dapat dilengkapkan berikutan kerajaan PKR Selangor masih belum mengambil
alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) untuk
memuktamadkan pembentukan entiti tunggal Pengurusan Air Selangor Sdn.
Bhd. (Air Selangor) yang dimiliki kerajaan negeri.
Perjanjian utama untuk penstrukturan semula yang ditandatangani pada 12
September 2014 itu melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan PKR
Selangor, Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) dan Air Selangor.
Berdasarkan perjanjian itu, kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan
kepada kerajaaan PKR Selangor untuk mengambil alih syarikat-syarikat
konsesi air di negeri berkenaan bagi membentuk Air Selangor.
Sebagai balasan, kerajaan PKR Selangor perlu menyerahkan aset-aset air
kepada PAAB dan aset berkenaan akan dipajak semula oleh PAAB kepada Air
Selangor berdasarkan ‘sewa pajak’ bagi tempoh 40 tahun, seperti yang
dijalankan dalam penstrukturan industri bekalan air di negeri-negeri
lain.
Ujar sumber itu, kerajaan Persekutuan sebenarnya telah membuat
pelaburan bernilai lebih RM14 bilion untuk membantu kerajaan PKR
Selangor mengambil alih ekuiti syarikat-syarikat konsesi air namun ia
tidak dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melaksanakan penstrukturan itu.
“Akibat kelewatan tersebut, pelbagai inisiatif penaiktarafan aset
secara berterusan seperti loji dan paip serta tangki air tidak dapat
dilaksanakan, selain itu, sewa pajakan yang tidak dibayar oleh kerajaan
negeri sejak 2014 kepada PAAB adalah berjumlah lebih daripada RM700 juta
setahun,” katanya.
Ujarnya lagi, kegagalan kerajaan PKR Selangor menangani isu hutang
tertunggak pembelian air terawat kepada Splash yang sudah mencecah lebih
daripada RM4 bilion sehingga Januari 2018 telah mengakibatkan dua
subkontraktor iaitu Gamuda Water dan Sungai Harmoni gagal menjelaskan
bil elektrik tertunggak kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang
berjumlah RM53 juta sehingga September tahun lalu.
“TNB sudah pun memulakan prosiding mahkamah dan tindakan ini dikhuatiri
akan menjejaskan bekalan air di Selangor secara keseluruhan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan