IPOH: Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau
memperuntukkan waktu rehat hanya beberapa jam sahaja berikutan pilihan
raya umum ke-14 (PRU-14) semakin dekat, berbanding hari-hari kebiasaan.
“Tidur kurang, (tapi) kerja lebih, cakap pun lebih dan mudah-mudahan
undi pun lebih. Kerja-kerja ke arah PRU14 harus dilipatgandakan sebaik
mungkin sehingga ke saat akhir,” katanya.
Jawapan itu diberikan sambil berseloroh ketika ditanya moderator Fizo
Omar pada Program Bajet 2018 Bersama Rakyat - Penjawat Awam di Kolej
Sains Kesihatan Bersekutu, Tanjung Rambutan dekat sini, kira-kira 12
kilometer dari Ipoh.
Beberapa soalan dikemukakan pada sesi soal jawab menerusi aplikasi
Slido.com yang menyentuh mengenai pelbagai isu antaranya dasar kerajaan,
kisah kehidupan harian perdana menteri dan cabaran menjadi pemimpin
negara.
Sewaktu sesi soal jawab yang berlangsung kira-kira 10 minit itu, Najib
turut meminta penjawat awam yang menetap di kuarters kerajaan supaya
merebut peluang dengan menambah aset membeli rumah Projek Perumahan Awam
1Malaysia (PPA1M) yang ditawarkan oleh kerajaan.
“Sebab kuarters bukan kita punya, itu ‘gomen’ (kerajaan) yang punya.
Jadi saya hendak penjawat awam nanti ada aset sebelum mereka bersara
kelak,” katanya.
Ditanya mengenai apa yang terlintas di fikiran perdana menteri ketika
datang ke Ipoh, beliau menjelaskan negeri ini terkenal makanan dan
ketika ini Nasi Vangey terlintas dalam fikirannya.
Najib turut menarik perhatian hadirin dengan berkongsi kenangan paling
diingati dalam konteks di negeri ini, satu daripadanya merupakan
penubuhan kerajaan Perak.
“Sebenarnya banyak moment segar dalam ingatan saya sampai hari ini.
Bagi konteks Perak, adalah bagaimana hendak tubuhkan kerajaan Perak. Itu
banyak peristiwa penting yang boleh diceritakan nanti apabila sampai
masanya,” katanya.
Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang berusia 11 bulan tumbang dengan
empat Anggota Dewan Undangan Negeri keluar daripada pakatan pada 2009
sebelum digantikan Barisan Nasional yang dipimpin menteri besar Datuk
Seri Dr Zambry Abd Kadir sehingga kini.
Sebelum mengakhiri sesi soal jawab tersebut, Najib turut sekali lagi
memberi indikasi kepada hadirin bahawa ‘hari raya’ yang dimaksudkan
PRU14 itu akan diadakan tidak lama lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan