Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial),
Yb Senator Waytha Moorthy (tengah) beramah mesra dengan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) pada pembukaan Forum Malaysia Baru Selepas 61 Tahun
Merdeka di Hotel Armada, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK
KUALA LUMPUR – Isu berhubung dakwaan hampir 300,000 masyarakat India
di Malaysia tidak memiliki dokumen pengenalan sehingga hari ini
sebenarnya bukan cerita dongeng sebaliknya adalah satu realiti.
Pendedahan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P.
Waythamoorthy yang memaklumkan, angka itu bukan sengaja diada-adakan
bagi mengelirukan orang ramai, mahu meraih undi atau menyebar rasa benci
kepada kerajaan terdahulu.
Sebaliknya, angka itu merupakan anggaran sejak beberapa tahun
terutama di kawasan-kawasan pedalaman sebelum angka itu dikeluarkan oleh
pelbagai pihak termasuk pembangkang ketika itu dan juga pemimpin dalam
kalangan Barisan Nasional (BN) sendiri.
“Pada awalnya, kita anggarkan kira-kira 150,000 orang tidak miliki
dokumen pengenalan tetapi angka itu berubah kepada hampir 300,000.
“Bayangkan jika seseorang yang tinggal di kawasan pedalaman, tidak
berpendidikan, tidak mempunyai kerja tetap dan sebagainya. Jangan kira
induvidu lagi, kira berapa ramai dalam keluarga mereka.
“Dari situ ramai pihak mendapat anggaran seperti itu malah saya yakin
itu adalah anggaran yag betul.
Ingin sekali saya beri contoh kepada
anda, beberapa tahun lepas, ketika Datuk Seri Khir Toyo masih lagi
menjawat jawatan Menteri Besar Selangor, beliau sendiri pernah
mendedahkan di negeri itu sahaja hampir 40,000 kanak-kanak India tiada
pengenalan dan tidak dapat bersekolah.
“Itu baru kanak-kanak, bagaimana pula dengan emak dan bapanya?
Saudara yang lain? Kita sedang bercakap tentang negeri Selangor.
Bagaimana pula dengan negeri lain seperti Perak, Kedah dan sebagainya.
“Jumlah itu kekal dan kita sedang cuba memperhalusi prosedur yang
sedia ada bagi kumpulan ini menyediakan dokumen tertentu bagi
mendapatkan pengenalan mereka sebelum ini. Jika proses untuk mendapatkan
pengenalan sangat susah dan sukar mendapatkan kelulusan, bagaimana kita
mahu bantu mereka?
“Setakat ini, hanya lebih 3,800 permohonan telah diterima yang ada
sudah diproses dan baki menunggu kelulusan. Ada banyak lagi pihak belum
di beri kesedaran bagaimana menyenangkan proses permohonan dokumen
kewarganegaan yang sebelum ini agak rumit,” katanya kepada Malaysia
Gazette malam tadi. Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial),
Yb Senator Waytha Moorthy bercakap kepada media pada pembukaan Forum
Malaysia Baru Selepas 61 Tahun Merdeka di Hotel Armada, Petaling Jaya.
foto SYAFIQ AMBAK
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd
Azis Jamman yang menyatakan angka itu adalah maklumat yang dikumpul
sendiri ahli parlimen pembangkang sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH)
dibentuk.
Mohd Azis berkata, berdasarkan statistik kementerian sehingga 31 Mei
lalu hanya 3,853 permohonan kewarganegaraan diterima dalam kalangan
masyarakat India dan 1,683 sudah diluluskan manakala baki 2,215
permohonan masih dalam proses.
Bagi menangani isu dokumen pengenalan diri ini, kementerian melalui
Jabatan Pendaftaran Negara sentiasa produktif bagi memastikan lebih
ramai warganegara mendapat kad pengenalan, kata Mohd. Azis.
Senator Datuk T. Mohan juga ada mempersoalkan kesahihan angka 300,000
kaum India tiada dokumen pengenalan diri yang dibangkitkan sebelum ini
sehingga menyebabkan MIC kehilangan kepercayaan pengundi.
Tambah Waythamoorty yang juga merupakan Pengerusi Barisan Bertindak
Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang lantang memperjuangkan isu
kewarganegaraan sebelum dilantik sebagai menteri baru-baru ini, beliau
amat prihatin dengan cara isu ini ditangani.
“Jika tanya soalan atau dokumen ‘bukan-bukan’ yang sudah pasti mereka
tiada, bagaimana mahu memohon atau minta diluluskan? Kita sedang
tangani isu ini ketika ini dan mencari alternatif terbaik untuk
tanganinya.
“Saya sendiri pernah bertemu dan menemubual golongan yang tinggal di
kawasan pedalaman yang tidak memiliki dokumen pengenalan, dari emak ayah
sehingga anak-anak. Keadaan ini juga menyebabkan mereka hidup dalam
serba daif kerana tidak mempunyai pendidikan atau pekerjaan yang baik.
“Saya kena dengar balik hansard ketika sesi Dewan Negara
semalam, saya hanya baca melalui dalam media sahaja, saya tidak bagi
jawapan mengapa angka itu sahaja di sebut kerana itu adalah jumlah
permohonan sahaja. Banyak lagi belum memohon,” ujarnya. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan