HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2018

PKR MAHU ‘TENDANG’ MUKHRIZ SEBAGAI MB?



Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah dibadai krisis kepemimpinan apabila PKR dikatakan berhasrat untuk menerajui negeri itu yang kini dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ia ekoran kesediaan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul untuk mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesediaan itu memberi bayangan bahawa Johari berkemungkinan besar akan menggantikan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai Menteri Besar Kedah.

Situasi itu mencetuskan rasa kurang senang PPBM Kedah yang menyifatkan PKR cuba melanggar perjanjian yang telah dimeterai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Timbalan Ketua Badan Perhubungan PPBM Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid, berkata sudah disepakati bahawa Kedah, Perlis, Perak dan Johor diberikan kepada PPBM dan PKR memimpin Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

“Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak diserahkan kepada DAP manakala Parti Amanah Negara (PAN) diberikan Kelantan, Terengganu dan Melaka.

“Saya ingin ingatkan sahabat lama saya itu bahawa jangan mengambil kesempatan dari pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan nanti,” katanya.

Sementara itu Mukhriz dalam responnya berkata, pelantikan jawatan Menteri Besar adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri, sekali gus membolehkan sesiapa sahaja menjadi pemimpin nombor satu di sesebuah negeri.

“Saya hanya menurut perintah dan arahan dari kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri yang memiliki kuasa prerogatif membabitkan jawatan Menteri Besar.

“Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul itu…ia adalah komen peribadi beliau dan terpulanglah kepadanya. Kerana sebelum ini, tiada sebarang perbincangan mengenai perkara yang dibangkitkan beliau.

“Namun, saya ingin tegaskan kami semua sepenuh hati menyokong keputusan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri. Ia selaras dengan ketetapan sebelum ini bahawa selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, maka Anwar akan menjadi Perdana Menteri,” katanya yang ditemui selepas meninjau persiapan Pasukan Bola Sepak Kedah (KFA) di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Mentaloon, Alor Setar, petang Isnin.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas kenyataan Johari yang sanggup menawarkan kerusi Parlimennya kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, sekali gus memberi bayangan kemungkinan berlaku perubahan terhadap kepemimpinan di Kedah.

Tiada ulasan: