HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Ogos 2018

M’sia bimbang pelarian Rohingya direkrut sebagai pengganas – Mat Sabu

THE MALAYSIAN TIMES
 



KUALA LUMPUR: Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap pelarian Rohingya yang berpotensi direkrut sebagai pengganas Daesh jika isu pelarian masyarakat itu tidak ditangani secara serius.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kementeriannya memandang serius perkara ini dan masalah pelarian Rohingya sewajarnya ditangani segera oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum lebih ramai lagi pelarian terjebak dengan ideologi Daesh.

“Saya melihat apa yang berlaku di Palestin apabila penduduk di sana dihalau keluar oleh Israel, mereka berada di merata tempat dan mencari jalan untuk melawan dan kembali ke tanah air mereka.

“Mereka ini (penduduk Palestin) akhirnya pergi kepada ideologi Daesh dan menjadi pengebom berani mati,” katanya pada sidang akbar Simposium Antarabangsa Counter Terrorism dan Profesional Keselamatan (IACSP) di sini, hari ini.

Mohamad berkata perkara yang sama boleh juga berlaku terhadap masyarakat Rohingya di Rakhine yang mengalami krisis pembersihan etnik.

“Saya lihat kebimbangan ini (direkrut menjadi Daesh) boleh berlaku kerana mereka berada dalam keadaan terdesak, di mana mereka boleh terima apa sahaja pandangan termasuklah propaganda Daesh,” katanya.

Mohamad berharap pihak PBB memainkan peranan secara lebih berkesan supaya mereka dapat kembali ke negara asal mereka.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, E8 Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan wujud elemen keganasan dalam kalangan pelarian Rohingya di negara ini.

Ayob berkata ini kerana terdapat empat kes pelarian Rohingya terlibat Daesh sebelum ini antara 2015 dan 2016.

“Walaupun bilangan mereka terlibat Daesh tidak ramai tapi ini menunjukkan mereka mudah terpengaruh dengan propaganda Daesh.

“Kami telah menuduh mereka di mahkamah dan mengusir keempat-empat mereka ke negara asal,” katanya.

Ayob berkata, selain Daesh, satu lagi kumpulan pengganas Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) turut dikesan secara aktif merekrut anggota baharu daripada kalangan pelarian Rohingya di negara ini.

Beliau berkata hasil risikan mendapati ARSA beroperasi di rantau Asia Tenggara.

“Ada maklumat risikan mengatakan mereka beroperasi di rantau Asia Tenggara, maka kami pantau dan memastikan Malaysia tidak menjadi pangkalan ARSA merekrut pelarian Rohingya terlibat Daesh,” katanya.

Selain itu, Ayob juga mendedahkan sebanyak 95 peratus anggota Daesh direkrut melalui media sosial.– Bernama

Tiada ulasan: