HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2018

Darul LGBT: Pas berfahaman Takfiri ancam dunia Islam

Nizam Zain

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa. foto HAZROL ZAINAL,


KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Pas melabelkan Kerajaan Negeri Selangor sebagai Darul LGBT dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Selasa lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa kesal dengan tohmahan calon Pas, Dr Halimah Ali menyebarkan fitnah dan kepalsuan mengenai pendirian Kerajaan PH dalam soal LGBT.

“Mereka telah menghukum dan menguar-uarkan seolah-olah inilah dia Kerajaan PH yang dikatakan Darul LGBT.

“Kalau yang cakap ini daripada parti Islam, ia amat menyedihkan kerana akhlak dan budaya sebuah parti Islam tidak mungkin melakukan penipuan ataupun pembohongan.

“Sebab itu saya akan meneliti soal ini dan saya minta sekali lagi yang dengar penjelasan saya dan ada dari Kelantan harap bawa balik mesej ini, jangan ulang fitnah kerana ia dosa cukup besar,” katanya pada sidang Dewan Negara, di Parlimen, hari ini.

Mujahid menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Raj Munni Sabu meminta beliau menyatakan pendirian kerajaan berhubung kempen Pas di PRK Seri Setia dianggap sebagai pertandingan parti Islam itu dengan Darul LGBT.

Selasa lalu, lidah rasmi Pas, akhbar Harakah melaporkan Dr Halimah menyifatkan PRK Seri Setia pada 8 September ini bukan sekadar pertandingan antara Pas dan PH atau pembangkang dengan kerajaan bahkan dilihat sebagai Pas lawan kerajaan yang selembut LGBT.

Mujahid berkata, pendirian bekas wakil rakyat Pas Selangor itu boleh dianggap sebagai berfahaman takfiri yang dianggap satu ancaman kepada dunia Islam hari ini.

“Ini masalah dalam negara kita rangkumkan dalam ektremisme atau radikalisme agama ia melibatkan mereka (Pas) saja yang betul termasuk kelompok dan jemaah tertentu mendakwa mereka saja yang betul

“Dia saja boleh masuk syurga, orang lain tak boleh masuk syurga. Maka fahaman ini memang bahaya kerana dia meletakkan dia suci, orang lain semua tak betul.

“Lahirkan satu istilah iaitu Takfiri iaitu menyatakan orang lain itu keluar agama, dia saja berada di landasan yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: