HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Ogos 2018

RTM batal bual bicara seminar Islam liberal kerajaan Kelantan

 
Pengarah seminar Datuk Johari Mat dimaklumkan oleh sekretariat seminar bahawa ia dibatalkan "atas arahan dari pihak Kuala Lumpur".





PETALING JAYA: RTM membatalkan program bual bicara sempena Seminar Bahaya Islam Liberal anjuran kerajaan Kelantan, yang akan berlangsung pada 1 September ini.

Pengarah seminar Datuk Johari Mat berkata program untuk menguar-uarkan seminar itu sepatutnya diadakan awal pagi tadi di RTM Kelantan, Kota Bharu tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.

Beliau dimaklumkan oleh sekretariat seminar bahawa ia dibatalkan “atas arahan dari pihak Kuala Lumpur”, seperti yang dilapor akhbar PAS, Harakah.

“Alasan apa saya tidak tahu,” kata Johari, dan menambah program bual bicara itu diatur oleh sekretariatnya.

Seminar Bahaya Islam Liberal dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan pusat di Kelantan dan badan-badan bukan kerajaan, bertempat di Pusat Dagangan Kelantan, Kota Bharu.

Seminar itu bakal menghimpunkan 3 kertas kerja bertajuk “Bahaya Pemikiran Islam Liberal”, “LGBT dan Feminisme” dan “Bahaya Pluralisme Dalam Islam”.

Ahli panel yang akan membuat pembentangan ialah Exco Datuk Mohamed Fadzli Hassan, Pengerusi Multiracial Reverted Muslim (MRM) Firdaus Wong Hai Wung, wakil mufti Kelantan, dan pembentang dari Institut Antarabangsa Pengkajian Pemikiran dan Tamadun Islam (Insists) dari Indonesia.

“Kita mahu rakyat faham dan tidak mahu ia merebak,” kata Johari. “Kita terbuka kepada semua termasuk mereka yang mempunyai pemikiran liberal. Kita boleh bincang cara ilmiah tanpa sebarang provokasi.”

Johari berkata pihaknya tidak terasa hati akan pembatalan itu dan menganggap perkembangan ini “benda kecil”.

“Kita tidak bergantung pada RTM tetapi kalau diberi peluang lebih baik. Kalau orang beri kerjasama, kita berterima kasih. Kalau tidak, tidak mengapa,” katanya.

Tiada ulasan: