HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Ogos 2018

MCA wajar keluar BN dan masuk HARAPAN, kata DAP

MALAYSIAKINI

   

PRK BALAKONG | Pengerusi DAP Tan Kok Wai hari ini menyarankan MCA meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) sekiranya kalah di Balakong 8 Sept ini.

Kata Tan HARAPAN sedia menimbang MCA sebagai parti komponen yang baru, dengan syarat parti berasaskan kaum Tionghoa itu bersetuju dengan prinsip gabungan berkenaan.

"Mereka harus sertai kami sebagai sebahagian daripada HARAPAN sekiranya mereka kalah pada pilihan raya kecil ini, itu pun jika mereka bersetuju dengan prinsip HARAPAN dan mahu menyertai kami,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bersama calon kerajaan, Wong Siew Ki, di Balakong.

Khamis lepas, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan dilaporkan berkata keputusan di Balakong merupakan pengukur masa depan MCA bersama BN.

Pada masa sama, Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong dilaporkan mengakui sukar untuk MCA merampas kembali DUN berkenaan daripada genggaman HARAPAN.

Mengulas lanjut, Tan yang juga Anggota Parlimen Cheras berkata keputusan MCA menggunakan logo sendiri pada PRK Balakong jelas menunjukkan parti itu sudah tidak sehaluan dengan BN.

Pada masa sama, Tan membidas MCA yang membuat pusingan ‘U’ berhubung PAS apabila turut mengajak parti itu berkempen pada PRK berkenaan, selain berkempen untuk PAS di Seri Setia yang berlangsung serentak nanti.

“Dahulu mereka (MCA) pernah menyatakan akan keluar BN jika Umno bekerjasama dengan PAS, sekarang sudah jelas (Umno bekerjasama dengan PAS), mengapa mereka (MCA) senyap dalam hal ini?” katanya.

Sementara itu, Wong menjangka lebih 60 peratus pengundi di Balakong itu akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 8 Sept ini.

Namun katanya jentera parti sedang berusaha memastikan lebih ramai keluar mengundi dengan sasaran 80 peratus berbuat demikian.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie daripada DAP dalam satu kemalangan jalan raya, 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon BN Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi.- Bernama


Tiada ulasan: