HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Ogos 2018

PAS gesa k'jaan teruskan bantuan konsep BR1M

MALAYSIAKINI

   

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu kerajaan terus memastikan nasib golongan memerlukan seperti penerima skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) terus terbela.

Kata Abdul Hadi, ia penting bagi kerajaan mengatasi masalah kemiskinan di negara ini.

“Apa yang penting adalah konsep membantu orang miskin, konsep yang perlu diteruskan dan dibuat penambahbaikan dengan cara yang sistematik, jangan hilang begitu sahaja.

“Usahakan supaya betul-betul dapat mengatasi masalah kemiskinan,” katanya dalam sidang media selepas majlis melabuh unjam di perairan Marang, Terengganu, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mendedahkan bahawa BR1M akan dikurangkan dan akhirnya dihapuskan.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dilapor berkata bantuan itu akan dihentikan kerana terdapat unsur rasuah.

Dalam siri kenyataan di Twitter hari ini, Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin membantah pengurangan atau penghapusan bantuan berkenaan.

Khairy juga menyifatkan alasan yang diberikan Azmin sebagai "dangkal".

'Hanya janji pilihan raya'

Manakala dalam perkembangan lain, anggota Marang itu menegaskan pihaknya kini tidak lagi peduli dengan janji manifesto HARAPAN yang disifatkannya tidak akan dapat dilaksanakan kerajaan Malaysia baru itu.

Tegas Abdul Hadi, apa yang dinyatakan kerajaan HARAPAN itu hanyalah janji-janji pilihan raya.
“Kita tak peduli hal orang, kita buat kerja di Kelantan dan Terengganu, di negeri yang kita menang.

“Apa yang kita tahu ialah janji-janji itu tak boleh dibuat. Ia semata-mata janji yang dibuat untuk menang pilihan raya, yang mereka tidak dijangka kemenangan itu,” katanya.


Tiada ulasan: