HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Ogos 2018

Rais: Tidak adil sekiranya BR1M dikatakan sebagai rasuah, tapi…

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan panel khas secepat mungkin bagi meneliti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jika ia diteruskan.

Bekas Penasihat Sosial-Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata panel itu bagi memastikan hanya individu atau golongan yang layak menerima bantuan tersebut, lapor Bernama.

“Tidak adil sekiranya bantuan dikatakan sebagai rasuah untuk menarik sokongan dan saya percaya (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) tidak bermaksud sedemikian. Bagi masyarakat yang tidak mampu, tidak bekerja atau dilanda bencana, wajib menerima bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Kongres Sejarah Malaysia III-Sejarah Malaysia: Pasak Masa Hadapan Negara di Wisma Sejarah, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan pelaksanaan BR1M oleh Barisan Nasional dahulu perlu dihentikan kerana ia mempunyai unsur rasuah.

Rais, bagaimanapun bersetuju seandainya pemberian diberi kepada penerima yang cukup sifat, bantuan BR1M itu boleh dianggap sebagai amalan rasuah untuk mendapatkan sokongan politik kepada pihak tertentu.

“Jadi harus diwujudkan panel peneliti bagi menentukan mana yang betul dan tidak secepat mungkin. Baiknya amaran ini diberi oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) agar kita tidak menjadi negara kebajikan seperti di England, yang banyak dibolos oleh penipuan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata RM8 bilion yang dibelanjakan untuk BR1M selama ini, melibatkan lebih 2/3 penerima yang tidak seharusnya menerima bantuan tersebut.

“Kalau terus memberi, kita menggalakkan rakyat malas bekerja. Ini memang tidak bagus. Untuk itu, perlu ada kriteria baru yang lebih jelas. BR1M ini hanya layak bagi mereka yang umur lanjut dan uzur,” katanya.

Dalam pada itu, kongres selama dua hari anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bermula hari ini menghimpunkan 100 sejarawan di seluruh Malaysia dan Indonesia dengan 30 pembentangan kertas kerja berkaitan.

Tiada ulasan: