KEADILAN DAILY
Calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Seri Setia, Halimey Abu Bakar berazam untuk menambah jumlah rumah mampu milik apabila dipilih menjadi wakil rakyat.
Bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu bagaimana pun sedia maklum akan cabaran kekurangan tanah bagi tujuan tersebut.
“Langkah pertama yang akan saya ambil ialah bekerjasama dan menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di kawasan DUN Seri Setia.
“Walaupun terdapat kekangan utama dalam perkara ini, iaitu ketiadaan tapak untuk membangunkan perumahan mampu milik, namun saya percaya setiap masalah akan ada penyelesaiannya,” katanya dalam sidang media di Blik Gerakan Utama (BGU) DUN Seri Setia, lapor SelangorKini.
Katanya, beliau juga yakin kawasan perumahan lama seperti di Kampung Lindungan dapat dibangunkan semula kekal sesuai dengan keperluan semasa.
Menurutnya, projek naik taraf sama sudah dilaksanakan di Kampung Kerinchi, Lembah Pantai.
Beliau juga berazam untuk mencadangkan kepada kerajaan Selangor untuk menambah rumah sewa kendalian kerajaan negeri buat golongan kurang berkemampuan.
“Bagi golongan termiskin atau miskin bandar pula, saya akan mencadangkan kerajaan negeri membina rumah khas untuk disewa golongan itu dengan kadar sewa minimum tidak melebihi RM250 sebulan.
“Usaha serupa juga dilakukan bagi membantu golongan bujang dengan membina rumah satu bilik atau menyamai saiz studio berdasarkan keperluan seharian mereka yang tidak memerlukan ruang kediaman yang luas.
“Pada masa sama, saya juga ingin menegaskan bahawa setiap unit kediaman mampu milik untuk rakyat di kawasan ini adalah dilarang sama sekali untuk disewakan kepada warga asing,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Seri Setia dan Balakong berlangsung serentak pada 8 September.
Hari penamaan calon pula ditetapkan 18 Ogos dan hari mengundi awal 4 September ini.
PRK Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.
Pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi.
Seramai 52,650 pengundi berdaftar dijangka bakal membuang undi dalam PRK Seri Setia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan