HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Ogos 2018

Penguat kuasa kena berundur sehingga hak tanah adat diputuskan

Nizam Zain
 27867173_2116240545270663_2608563411226274373_n-681x383




KUALA LUMPUR – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli digesa mengundurkan kesemua penguat kuasa khususnya Jabatan Perhutanan Kelantan dari penempatan Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan.

Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad dan Senator Adrian Banie Lasimbang dalam sidang media bersama menegaskan, langkah itu perlu dilakukan sehingga isu hak tanah adat di Kampung Depak, Pos Tohoi; Kampung Cawas, Pos Bihai dan Kampung Kuala Wook, Pos Pasik diputuskan.

“Kami berpendirian bahawa kes tanah adat ini kes sivil yang harus dibicarakan di mahkamah untuk menentukan mana pihak yang mempunyai hak sebenar terhadap kawasan tersebut.

“Dengan merujuk keputusan kes-kes mahkamah sebelum ini berkenaan hak tanah adat Orang Asli, kami percaya masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di situ juga mempunyai hak terhadap wilayah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pada Isnin lalu, pihak berkuasa diketuai Jabatan Perhutanan Kelantan merobohkan tiga sekatan yang dibina oleh masyarakat Orang Asli suku Temiar di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan.

Sekatan itu dibina untuk menghalang pembalak daripada mengeluarkan hasil hutan di tiga kampung Orang Asli berkenaan.

Baru-baru ini, seramai 220 penduduk suku Temiar dari Gua Musang menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di bangunan Perdana Putra, Putrajaya untuk menuntut pewartaan tanah adat terbabit.

Mereka juga berkata, hak Orang Asli itu terhadap wilayah adat itu sepatutnya dihormati oleh Kerajaan Negeri Kelantan sebelum memberi kelulusan tanah kepada syarikat-syarikat yang ingin memasuki penempatan suku Temiar itu.

“Prinsip izin melalui makluman awal bebas dan telus yang terkandung dalam Deklarasi PBB haruslah dihormati sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan untuk melindungi hak masyarakat Orang Asli di Malaysia.

“Kami menyeru pihak kerajaan baharu menunaikan tanggungjawab untuk melindungi dan memelihara warisan budaya Orang Asli seperti mana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka lagi. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: