Selepas detik 12 tengah malam ini maka berakhirlah peluang pendatang tanpa izin (PATI) untuk terus bersarang di negara tercinta ini setelah tamatnya Program Penghantaran Pulang PATI Secara Sukarela (3+1) yang diperkenalkan sejak 2014.
Ketua Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali berkata perkara ini turut ditegaskan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyyiddin Yassin sebelum ini yang menyatakan tarikh akhir program 3+1 itu adalah 30 Ogos 2018 dan tidak akan disambung lagi.
“Kita tak mahu ada lambakan PATI di negara kita...saya dengan berani menyatakan dengan mengambil konsep semangat Hari Kemerdekaan yang disambut hujung bulan ini (esok), mengapa tidak kita berusaha memerdekakan negara kita daripada PATI selepas 30 Ogos ini.
“Selain mereka (PATI), majikan dan kedutaan negara masing-masing juga bertanggungjawab untuk membawa mereka pulang selepas 30 Ogos ini,” katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata program itu dilaksanakan untuk membolehkan PATI tampil menyerah diri dengan hanya membayar kompaun minimum iaitu RM300 dan RM100 untuk sijil khas (SP) pulang ke negara asal.
“Jabatan Imigresen Malaysia sering menerima aduan terutama daripada penduduk tempatan sejak kebelakangan ini yang mereka tidak selesa dengan lambakan warga asing di negara ini,” katanya.
148,774 PATI serah diri setakat Ogos
Melihat kepada situasi yang berlaku, Mustafar berkata tindakan warga asing sering memonopoli sesuatu kawasan terutama di kawasan perumahan telah membawa rasa kurang senang kepada warga tempatan.
Beliau berkata warga asing juga dilabel kotor, sering membuang sampah merata-rata dan ada antara mereka membawa penyakit berjangkit yang mampu mengancam penduduk sekitar.
“Jadi, penguatkuasaan tegas perlu untuk membanteras lambakan warga asing ini, selain mengurangkan populasi mereka di sini.
Setakat ini, kira-kira 840,000 PATI tampil menyerah diri menerusi program tersebut, termasuk 148,774 PATI yang menyerah diri pada tahun ini setakat awal Ogos.
Susulan itu, Mustafar berkata Jabatan Imigresen Malaysia melalui Op Mega akan menjalankan operasi secara berterusan dalam membanteras PATI daripada terus menghuni negara ini.
“Jabatan Imigresen juga perlukan kerjasama agensi penguat kuasa lain bagi mengambil tindakan bersepadu untuk menahan PATI dan membawa mereka ke mahkamah kerana mentadbir golongan ini secara sendiri bukan mudah,” katanya.
Beliau, bagaimanapun mengalu-alukan kedatangan warga asing ke negara ini secara sah kerana ia memberi banyak faedah kepada ekonomi negara khasnya mereka yang datang sebagai pelancong, pelajar, pekerja yang sah atau menerima rawatan di negara ini.
“Yang kita tak alukan ialah PATI iaitu golongan yang telah tamat tempoh bekerja tetapi tetap meneruskan pekerjaan dan golongan yang menyalahgunakan pas melancong dengan bekerja atau melacurkan diri seperti di rumah-rumah urut,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan