South China Morning Post berkata perdana menteri sengaja samar-samar agar tidak jatuh air muka China apabila projek dibatalkan.
KUALA LUMPUR: Mungkin ada sebab-sebab tertentu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berdolak-dalik atau samar-samar tentang meneruskan atau membatalkan projek besar berkaitan China, menurut akhbar Hong Kong.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan Dr Mahathir sedang membantu menjaga air muka China.
SCMP memetik beberapa orang yang rapat dengan Dr Mahathir sebagai berkata walaupun dia nampak samar-samar mengenai Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM20 bilion dan projek saluran paip gas bernilai AS$2.3 bilion, di sebalik tabir dia jelas mahu membatalkannya.
Menurut sumber-sumber itu, yang “secara langsung terlibat dalam perbincangan mengenai masa depan projek-projek yang disokong China” berkata, Dr Mahathir sengaja samar-samar tentang beberapa urus janji supaya “tidak jatuh air muka” China akibat pembatalan projek-projek itu ketika Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) oleh Beijing dikritik serata dunia sebagai satu bentuk diplomasi perangkap hutang.
Sumber berkata usaha Putrajaya menyalahkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, dan bukan China, kerana bersetuju dengan kontrak yang dianggap tidak adil terhadap Malaysia sebahagian strategi “menjaga air muka” itu.
“Bagi China, satu dunia akan tahu jika projek-projek itu langsung dibatalkan. Tiada orang akan mahu berniaga dengan China lagi. Sekarang pun ada masalah di Sri Lanka, Pakistan, di benua Afrika dan sebagainya.”
“Sebab itu kami asyik sebut ini semua salah Najib, Najib, Najib, dan bukan salah China. Malaysia tidak mahu malukan anda tapi anda mesti jaga kepentingan kami juga,” kata sumber itu.
Laporan itu memetik “sumber-sumber kerajaan” sebagai berkata Dr Mahathir tidak mungkin membatalkan projek berkenaan dengan begitu sahaja agar “air muka China terjaga”.
“Air muka sangat penting buat China, tetapi kedua-dua pihak bersetuju projek-projek itu perlu dibatalkan kerana kedudukan kewangan Malaysia,” lapor SCMP memetik seorang sumber yang “berurusan secara langsung dengan para perunding China”.
Laporan itu berkata pekerja yang dibawa masuk dari China untuk mengerjakan projek ECRL sudah dihantar pulang kerana langkah membatalkan projek itu sudah disahkan.
Laporan itu menarik perhatian kepada kata-kata Dr Mahathir bahawa warga asing tidak akan dibenarkan membeli unit-unit dalam pembangunan Forest City di Johor yang disokong China dan mereka tidak akan diberi visa untuk menetap di sini, dan penjelasan susulan daripada kerajaan.
Sumber-sumber dipetik sebagai berkata “dalam beberapa keadaan”, kata-kata spontan Dr Mahathir tidak boleh dianggap dasar kerajaan.
SCMP memetik sumber sebagai berkata projek keretapi api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura tidak akan dibatalkan, seperti yang dikatakan Dr Mahathir, tetapi akan ditangguhkan selama 2 tahun.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Singapura hari ini dan esok untuk rundingan terakhir sebelum menandatangani perjanjian menangguhkan projek itu, katanya.
Sementara itu, projek seperti Forest City bernlai AS$100 bilion dan Melaka Gateway bernilai AS$10.5 bilion mungkin akan diteruskan kerana melibatkan dana persendirian dan bukan projek antara kerajaan seperti ERCL dan saluran paip gas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan