HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Ogos 2018

Laporan: Anwar percaya Dr M akan serah kuasa seperti dijanjikan

MALAYSIAKINI

   

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya Tun Dr Mahathir Mohamad akan mematuhi persetujuan sebelum ini untuk menyerahkan kedudukan perdana menteri kepadanya, menurut laporan Nikkei Asian Review.

"Saya percayakannya dan tiada sebab untuk saya persoal," katanya seperti dipetik, sambil mengakui ada pihak yang cuba melaga-lagakannya dengan Mahathir atas sebab peribadi.

"Selagi saya terus mempunyai hubungan baik dengannya, tidak mengapa," katanya lagi.

Anwar juga dilaporkan berkata beliau bercadang untuk masuk ke Parlimen, melalui pilihan raya kecil pada Oktober, bagi memainkan peranan semak dan imbang terhadap reformasi institusi kerajaan.

"Keputusan untuk aktif dalam parlimen adalah strategik dari aspek orang tidak akan ada tanggapan yang saya cuba mengganggu atau menyukarkan keadaan untuk Mahathir," katanya.

Anwar juga memberitahu Nikkei Asian Review bahawa beliau tiada niat mengganggu pentadbiran Mahathir.

Berkenaan reformasi oleh kerajaan pula, Anwar berkata beliau mahu dasar bumiputera agar dikembalikan kepada tujuan asal iaitu membasmi kemiskinan.

"Dasar itu yang berasaskan kaum dan telah disalah guna untuk mengkayakan kroni perlu dihentikan.

"Dasar yang membantu golongan terpinggir, minoriti dan bumiputera yang ketinggalan perlu diteruskan sebagai (dasar) tindakan afirmatif, bukannya sebagai dasar bumiputera," katanya lagi.

Menurut wawancara itu yang disiarkan hari ini, beliau juga menyokong tindakan Mahathir untuk menyemak semula pelaburan dari China, namun menekankan kepentingan menambah baik hubungan antara dua negara.

Anwar mendakwa kerajaan sebelum ini "terlalu lembut" bagi menarik sokongan golongan Muslim konservatif, dan berkata masyarakat di negara ini perlu menghormati perbezaan kepercayaan dan cara hidup orang lain.

Beliau dilaporkan berkata, ia termasuk golongan gay, biseksual dan transgender, tetapi kerajaan tidak akan mengiktiraf perkahwinan sejenis.


Tiada ulasan: