Anggota Parlimen Lembah Pantai hari ini menyatakan kebimbangannya terhadap suasana politik Melayu yang mungkin menjadi lebih radikal dan eksklusif menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Kata Fahmi Fadzil ada elemen tertentu kini menjadi semakin lantang dalam isu perkauman dan ia bergerak ke arah ekstremisme.
"Kalau kita tidak berhati-hati, menjelang PRU ke-15 apa yang akan kita lihat ialah semakin kuat sentimen perkauman yang lebih ekstrem, lebih radikal dan lebih eksklusif.
"Itu tidak baik untuk masa depan negara. Saya fikir ini adalah salah satu kebimbangan yang besar kerana saya melihat ia bahaya kepada negara," katanya.
Menurut Fahmi, jika orang ramai menerima cara politik sebegitu dan ditambah dengan tindakan lebih radikal dengan mencetuskan naratif tertentu yang eksklusif ia akan menjadi ekstrem.
Fahmi berkata demikian sebagai menjawab sialan daripada saintis politik James Chin di forum A New Malaysia: The Way Ahead di Universiti Sunway, Subang Jaya Selangor.
Terdahulu Fahmi ditanya mengenai pandangannya terhadap masa depan politik orang Melayu di negara ini.
Kata Chin, pola sebegitu berlaku secara berterusan pada setiap pilihan raya sejak tahun 2000-an, Fahmi menjelaskan situasinya mungkin lebih serius dan menjangkakan lebih banyak elemen radikal yang muncul daripada pembangkang yang menjauhkan diri daripada parti sederhana.
Fahmi juga berkata kerajaan wajar menggubal undang-undang yang melarang sebarang tindakan menghasut sentimen perkauman dan pada masa sama menguatkuasakan peruntukan sedia ada.
Sementara itu bekas menteri besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir berkata sesetengah pemimpin yang dianggap rasis adalah lahir daripada politik pertentangan.
"Tetapi apa yang paling penting ialah, sama ada kita akan membiarkan kenyataan-kenyataan sebegitu, sama ada parti merelakan personaliti itu. Ia sangat penting.
"Apa saja yang anda katakan mengenai Umno dan BN dalam 60 tahun yang lalu, kamilah yang menjadi pelindung negara daripada segi mengekalkan keamanan dan kemakmuran.
"Ia adalah tentang keamanan dan kemakmuran; kita tidak pernah menerima sikap orang tertentu yang bercakap terlalu banyak tentang kaum lain, mengkritik ini atau orang itu.
"Kami telah berusaha sangat gigih, tetapi sudah tentu dari semasa ke semasa akan ada orang dengan sikap seperti itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan