HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Ogos 2018

Impian bergelar Komando musnah angkara payung terjun


Impian bergelar Komando musnah angkara payung terjun
Hussain ketika menganggotai tentera ketika muda.
 
KUANTAN - Cita-cita untuk berkhidmat di dalam perkhidmatan tentera di Rejimen Gerak Khas dan bergelar 'Abang Komando' sememangnya sudah lama terpahat di hati Hussain Ibrahim, 67.

Waktu itu, pada tahun 1973, usianya baru menjejaki awal 20-an. Menurut Hussain, gelaran berkenaan menjadi idamannya bukan kerana bunyinya gah, tetapi semangat berkobar-kobar untuk melepasi ujian dan latihan getir sekali gus meraih gelaran komando iaitu pencapaian yang diidamkan semua anggota tentera.

"Saya merupakan Rejimen Askar Melayu tetap sejak tahun 1970. Selepas tiga tahun bertugas, termasuk berkawal di sempadan Gerik, Perak-Thailand, saya ingin mencuba sesuatu yang baharu lebih mencabar iaitu menjadi komando dan berangkat ke Bandung, Indonesia untuk persediaan.

"Di sana saya melalui banyak cabaran dan ujian yang mencabar ketahanan mental dan fizikal.
Sehinggalah pada ketika saya dikehendaki menjalani latihan payung terjun, entah macam mana akibat kecuaian diri sendiri, payung terjun saya mengalami masalah ketika berada di ketinggian lebih 10,000 kaki.

"Payung tak terbuka dengan sempurna menyebabkan saya terbang di awang-awangan tanpa hala tuju. Akhirnya saya jatuh dan tersangkut di atas pokok. Syukur masih diberikan umur yang panjang tetapi saya mengalami kecederaan parah di mana tulang sendi bahu saya terkeluar dan tulang belakang saya terkehel.

"Saya terpaksa diterbangkan balik ke Malaysia dan impian saya untuk menjadi 'Abang Komando' terkubur begitu sahaja,” imbaunya.

Tragedi lebih 43 tahun lalu itu bukan sahaja melenyapkan impiannya untuk menjadi komando, tetapi Hussain juga terpaksa berhenti menjadi tentera kerana beliau tidak mampu bekerja untuk satu tempoh yang panjang.

Hussein mengalami kecacatan kekal pada bahu kanannya dan tangannya itu sudah tidak dapat diangkat tinggi sehingga kini.
Husin dan isteri kini berniaga cendol di Permatang Badak, selepas pencen.

Abang Do vs Abang Dol

Menceritakan pengalamannya menentang saki-baki komunis yang masih enggan menyerah sekitar tahun 70-an, beliau yang digelar Abang Dol kerana berniaga cendol di Permatang Badak, berkata, dia pernah melalui detik-detik mencemaskan.

Ketika berjalan bersama tiga lagi anggota di dalam hutan dan merentasi sebatang sungai di Bahau, Negeri Sembilan, mereka terserempak dengan gerombolan komunis yang ramai.

"Kami yang kepenatan waktu itu terpaksa menyorok dan mendiamkan diri. Bukan kerana enggan takut angkat senjata, tetapi empat orang nak lawan segerombolan komunis memang cari nahas," katanya.

Menurut Hussain, sebenarnya tiada siapa yang tahu sejarah latar belakangnya pernah menjadi anggota tentera termasuklah 12 anak-anaknya kerana segan nak cerita dek kerana impiannya ingin menjadi komando tidak kesampaian.

"Isteri saya Kelsom Abdullah, 60 pula hanya tahu saya pernah jatuh payung terjun selepas kami bernikah,” katanya diiringi ketawa.

Hussain berkata, sepanjang berkhidmat dalam tentera banyak pengalaman yang diraih olehnya.

Semua itu membuatkan beliau tegar dan menghargai erti kemerdekaan dan kebebasan yang sedia ada.

Justeru, beliau ingin menyeru kepada generasi muda pada masa kini untuk menghargai kemerdekaan dan jasa-jasa pejuang negara pada masa dahulu.

Tiada ulasan: