HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Ogos 2018

Nik Nazmi: BR1M jadi 'talian hayat' rakyat bukti Najib gagal

MALAYSIAKINI

   
Kebergantungan rakyat pada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan BN menunjukkan kegagalan pentadbiran kerajaan di bawah Datuk Seri Najib Razak, kata Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang memetik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa bantuan berkenaan akan dikurangkan dan akhirnya dimansuhkan.

Jelas Nik Nazmi, ramai penerima BR1M atau nama baru selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih kerajaan - Bantuan Sara Hidup (BSH) - menyatakan kebimbangan berhubung perkembangan itu kerana bantuan berkenaan sudah menjadi 'talian hayat' mereka.

"BSH yang menggantikan BR1M perlu diperbaharui. Ia perlu lebih berkesan untuk mengurangkan jurang perbezaan dalam masyarakat dan membolehkan penerima menyara diri sendiri.

"Begitu ramai yang bergantung kepada bantuan ini menunjukkan kegagalan kerajaan Najib (sebelum ini)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rumus secara terbuka

Pembaharuan itu, tambah Nik Nazmi, perlulah dilakukan dengan konsensus semua parti komponen HARAPAN dan kabinet memandangkan manifesto mereka berjanji mengekalkan BR1M bagi golongan B40.

"Sebarang perubahan juga perlu memastikan penerima ketika ini lebih terjejas.

"Selain itu perlu ada rancangan untuk membantu penerima yang tidak mampu bekerja, sama ada kerana umur ataupun tidak berupaya.

"Rancangan ini perlulah dirumuskan secara terbuka dan disampaikan secara jelas kepada orang awam agar ia tidak menimbulkan kebimbangan atau salah faham," katanya.

Tambah Nik Nazmi lagi, tidak salah jika kerajaan mensyaratkan bantuan itu untuk kos imunisasi atau untuk pendidikan anak-akan keluarga penerima.

"Agihan wang bersyarat dibuktikan berjaya di negara lain seperti Mexico dan Brazil dengan kajian menunjukkan terdapat peningkatan dalam kesihatan, pendidikan, pencapaian, mobiliti sosial, pasaran pekerja dan juga hasil ekonomi isi rumah.

"Tiada sesiapa yang menafikan bahawa adalah lebih baik mengajar seseorang memancing daripada memberi ikan. Namun tidak boleh diabaikan pihak yang betul-betul memerlukan bantuan.

"HARAPAN tidak boleh silap membuat keputusan dalam perkara ini kerana kita gabungan ini sangat menekankan belas kasihan," katanya.

Semalam, Dr Mahathir mendedahkan bahawa bantuan berkenaan akan dikurangkan dan akhirnya dihapuskan.

Alasan dangkal

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dilapor berkata bantuan itu akan dihentikan kerana terdapat unsur rasuah.

Dalam siri kenyataan di Twitter hari ini, Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin membantah pengurangan atau penghapusan bantuan berkenaan.

Khairy juga menyifatkan alasan yang diberikan Azmin sebagai "dangkal".

"Pemberian wang tunai satu polisi yang diamalkan oleh banyak negara lain. Sangat membantu menanggung beban sara hidup bagi golongan pendapatan rendah B40. Kalau pemberian wang tunai itu sogokan, hentikan juga ‘bonus’ & ‘duit raya’ untuk kakitangan awam. Konsisten.

"Saya bantah pengurangan atau pemansuhan BR1M. Alasan @AzminAli sangat dangkal. BR1M boleh dikukuh dari segi pengesahan penerima yang layak (better means testing) & perbelanjaan bersyarat (hanya boleh guna untuk beli barang2 tertentu sahaja)," katanya.

Untuk rekod, dalam manifesto pilihan raya, HARAPAN berjanji mengekalkan BR1M dan pengagihannya akan tidak akan mengambil kira latar belakang politik.

HARAPAN juga berjanji untuk memperbaiki sistem itu agar lebih adil.

Tiada ulasan: