HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2018

Lesen teksi individu jamin kebajikan pemandu - Anthony

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
Lesen teksi individu jamin kebajikan pemandu - Anthony
ANTHONY: Kira-kira 14,000 lagi pemandu teksi masih berada di dalam kontrak pajak dan menggunakan permit di bawah syarikat teksi. - Gambar Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Pemberian lesen teksi individu menjamin kebajikan pemandu dalam mengelak beban kewangan membayar pajakan kereta kepada syarikat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia sekali gus membuka peluang pemandu teksi menabung untuk masa depan.

"Sebelum ini dalam sistem pajak, mereka kena potong untuk sewa kereta, sewa permit dan sebagainya. Kalau mereka ada permit sendiri, mereka cuma bayar hanya ansuran kereta, tidak perlu membayar kepada pihak ketiga.

"Ia sekali gus memberi pendapatan kepada mereka, dan mereka dapat menikmati pendapatan tanpa potongan yang tinggi."

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan lesen teksi individu kepada 174 pemandu di ibu pejabat Suruhajaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di sini, hari ini.

Katanya, penerima lesen individu terbabit turut menerima geran tunai kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membantu pemandu teksi membeli kenderaan baharu.

Jelasnya, kira-kira 14,000 lagi pemandu teksi masih berada di dalam kontrak pajak dan menggunakan permit di bawah syarikat teksi.

Dalam perkembangan berasingan, jelasnya, semua kakitangan tetap SPAD akan diserap ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam beberapa bulan sehingga akhir tahun ini.

Anthony, sebelum ini, menjelaskan terdapat lebih 800 kakitangan tetap SPAD akan mengisi 1,000 kekosongan pelbagai jawatan di JPJ.

Tiada ulasan: