HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Ogos 2018

‘Mereka hanya minta kami sabar’


‘Mereka hanya minta kami sabar’
Sebahagian keluarga dan penduduk sekitar protes pengambilan tanah berkenaan.
 
 
SEREMBAN - Sebuah keluarga di Kampung Matai dalam Mukim Rantau merayu agar kerajaan negeri campur tangan membantu mereka mendapatkan semula hak milik tanah yang dijanjikan pentadbiran terdahulu.

Penduduk, S Thana Mani, 53,  berkata, tanah rizab milik kerajaan negeri itu dimohon sejak 1988 oleh mendiang ayahnya, M Subramaniyum dan kerajaan negeri memberi kebenaran kepada keluarganya untuk tinggal di situ sementara menunggu geran tanah dikeluarkan.

“Saya tinggal di sini lebih 40 tahun. Sepanjang tempoh itu sebanyak 15 kali permohonan telah dibuat untuk  dapatkan geran dan hak milik tanah, termasuk hantar surat kepada bekas Menteri Besar untuk meminta bantuan.

“Pelbagai bantuan dan rayuan telah saya usahakan tetapi masih tidak mendatangkan hasil, sebaliknya mereka hanya minta  saya bersabar dan menunggu sehingga geran dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 15 keluarga di kawasan itu sudah menerima hak milik tanah meski pun tanah diduduki mereka berstatus rizab kerajaan bagaimanapun, penduduk asal diberikan geran pemilikan, kecuali tanah didiami keluarganya.

“Tanah yang didiami keluarga saya diberikan kepada individu bukan penduduk asal di kawasan ini.
Macam mana orang ketiga boleh dapat hak milik tanah ini dengan mudah? Sedangkan selama ini saya susah-payah buat permohonan untuk dapatkan hak milik,” katanya.

"Jika tanah diambil semula kerajaan negeri untuk buat projek lain itu tak menjadi masalah tapi tanah ini diberikan kepada individu ketiga yang tiada kaitan dengan kerajaan negeri," katanya.

Thana Mani berkata, dia menerima notis pada 21 Julai 2018 dari pejabat peguam untuk mengosongkan tanah dalam tempoh sebulan daripada tarikh tersebut.

“Melalui surat tersebut, tanah yang saya duduki ini adalah kepunyaan seorang individu yang konon pemilik sah dan berdaftar dan kami diarahkan keluar dalam masa 30 hari, jika gagal tindakan saman akan dikenakan kepada kami.

“Di sini tempat saya lahir serta besarkan anak dan kami tidak ada tempat tinggal lain. Selama ini saya susah-payah mohon dapatkan hak milik, rupanya telah diberikan kepada orang lain,” katanya.

Justeru itu, Thani Mani menuntut penjelasan bagaimana perkara tersebut boleh berlaku

Tiada ulasan: