HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Ogos 2018

Kerjasama PAS-Umno kukuhkan pembangkang

MUHAMED NORAZIHA ABDULLAH

 
 
KUALA LUMPUR: PAS dengan Umno tidak membuat sebarang perjanjian, malah kerjasama yang terjalin dua parti itu hanyalah kerjasama sesama pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia.
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi berkata, kerjasama itu hanyalah meraikan persefahaman untuk memperkukuhkan blok pembangkang.
 
"Istilah 'perkahwinan' itu biasanya ada perjanjian, akad tapi kita tiada perjanjian dan tiada akad, sebenarnya kita dan Umno hanya satu persefahaman lebih kepada tahaluf.
 
"Oleh sebab itu, PAS mengalu-alukan seluruh sokongan dan Presiden telah terangkan sama ada daripada Umno, bahkan daripada ahli-ahli parti Pakatan Harapan (PH) untuk memberi undi kepada PAS pada pilihan raya kali ini," ujarnya.
 
Katanya, kemenangan PH di Dun Seri Setia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu atas faktor gelombang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
 
"Tidak diukur atas kemampuan PH, jadi realitinya gelombang itu sudah tiada dan ternyata dalam tempoh 100 hari rakyat dapat tengok tentang kegagalan PH dalam melunaskan janji-janji pilihan raya.

"Ini menjadi faktor-faktor yang boleh merubah pilihan raya kali ini," katanya. – HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan: