HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2018

Tiada cadangan mansuh AP kereta, motosikal

Nizam Zain
Dr Ong Kian Ming
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Yb Dr. Ong Kian Ming. 
foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bercadang untuk memansuhkan Lesen Import atau AP bagi kereta penumpang dan motosikal import sebagai usaha untuk menurunkan harga kereta di pasaran tempatan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, AP bukan faktor dalam menentukan harga kereta di pasaran tempatan.

“Pelbagai faktor boleh mempengaruhi harga kereta dan motosikal import, antaranya nilai pertukaran mata wang kos pengeksportan modal kereta dan margin keuntungan perniagaan.

“Oleh itu pada masa sekarang tiada cadangan untuk memansuhkan AP untuk kereta penumpang dan motosikal bagi tujuan menurunkan harga kereta,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Negara, di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Chai Kim Sen meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan sejauh mana kerajaan bercadang memansuhkan AP kereta penumpang dan motosikal demi menunaikan janji Kerajaan PH bagi penurunan harga kereta.

Kian Ming berkata, bagi menunaikan janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerajaan bakal mengumumkan polisi baharu berkaitan penurunan harga kereta selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Objektif menurunkan harga kereta seperti yang dijanjikan dalam Manifesto PH adalah tertumpu kepada segmen kereta penumpang untuk golongan B40 dan bukan kereta mewah.

“Tetapi untuk menurunkan harga kereta, polisi baharu akan dinyatakan dalam Dasar Automotif Nasional baharu yang akan diumumkan pada tahun ini juga,” katanya.

Kian Ming berkata, pemansuhan AP tidak menjamin harga kereta dapat diturunkan kerana kurang daripada 10 peratus daripada jumlah AP yang dikeluarkan berbanding jumlah jualan kereta pada 2017.

“Dari segi jumlah AP francais dan AP terbuka yang diluluskan pada 2017 di mana 29,662 unit untuk AP francais dan 21,947 unit untuk AP terbuka.

“Kalau kita nak buat perbandingan dengan jumlah kereta, jumlah kereta penumpang yang dijual pada 2017 adalah 514,679 unit.

“Ia menunjukkan bahawa jumlah AP adalah 10 peratus kurang daripada jumlah pasaran kereta penumpang yang dijual pada 2017,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: