HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Ogos 2018

ERC kaji cadangan SPR ambil alih kuasa daftar parti politik

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA: Syor Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ambil alih pendaftaran dan kawal selia parti politik daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan adalah antara 15 agenda yang akan diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), kata Pengerusinya Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.

Syor itu katanya bertujuan memberi lebih kuasa kepada SPR dalam melaksanakan urusan pilihan raya.

Selain itu, ERC juga akan meneliti syor sama ada merombak SPR atau menubuhkan satu badan lain dalam usaha mewujudkan sebuah organisasi pengurusan pilihan raya yang boleh dipercayai.

“Kami akan cadangkan penubuhan sebuah organisasi yang sesuai untuk melaksanakan pilihan raya.

Ia boleh dipanggil SPR atau nama lain, terserah kepada negara untuk memberi nama, tetapi saya percaya kita akan tetap memanggilnya SPR,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama ERC di sini hari ini.

Ab Rashid berkata ERC juga akan mengkaji sistem pilihan raya bersesuaian yang diamalkan negara lain dalam usaha menambah baik sistem pengundian “first-past-the-post” yang dipraktikkan di negara ini agar setara dengan standard antarabangsa.

Katanya ERC akan meminta bantuan badan-badan luar negara yang boleh membantu bagi mengkaji sistem yang diguna pakai oleh demokrasi yang telah matang seperti negara-negara di Eropah, Australia dan New Zealand.

Selain itu, Ab Rashid berkata ERC juga akan mengkaji cadangan mewujudkan undang-undang mengenai tatacara penubuhan kerajaan sementara selepas pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sekarang tiada undang-undang atau peraturan berkaitan bidang kuasa mereka. Kerajaan sementara bukan lagi sambungan kerajaan yang dipilih sebelum itu, justeru mereka sepatutnya hanya menguruskan pentadbiran biasa,” katanya.

Ab Rashid berkata turut dikaji ialah cadangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih 2.0 termasuk pendaftaran pengundi secara automatik dan merendahkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Katanya cadangan mewujudkan undang-undang bagi mengawal kewangan dan perbelanjaan pilihan raya akan turut dikaji termasuk dalam aspek sumbangan daripada kerajaan, swasta dan masyarakat.

Turut dikaji ialah undang-undang mengenai kempen dan proses pilihan raya bermula dari pembubaran Dewan Rakyat dan DUN, penetapan tarikh pilihan raya, penamaan calon, pengundian, pengiraan dan penjumlahan undi sehingga kepada pengisytiharan keputusan.

Ab Rashid berkata ERC akan turut mengkaji undang-undang mengenai kebebasan bersuara dan akses kepada media awam dan swasta, garis panduan kelakuan parti politik dan calon pada musim pilihan raya serta undang-undang mengenai pemerhati pilihan raya.

ERC yang dianggotai oleh 15 individu ditubuhkan untuk menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini serta membuat syor-syor yang akan diserahkan kepada kerajaan dalam tempoh dua tahun.

Ditanya sama ada tempoh itu mencukupi memandangkan terdapat perkara yang melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ab Rashid berkata anggota ERC akan berusaha menyelesaikan kajian dalam tempoh ditetapkan.

“Kita akan bentang hasil laporan kepada orang ramai secara berperingkat kerana kita mahukan maklum balas daripada NGO yang berminat, kalau mereka ingin berdialog kita sedia untuk bertemu mereka.

“Saya hendak tentukan kalau saya masih hidup, undang-undang yang kita buat ini diguna pakai untuk pilihan raya umum ke-15,” kata Ab Rashid.—Bernama

Tiada ulasan: