DALAM mempertahankan
cadangan mengenakan cukai pada minuman soda, pimpinan Pakatan Harapan
telah berhujah bahawa ia adalah demi kesihatan rakyat.
Malah, ada pimpinan mereka yang turut
mengutarakan hujah seperti golongan B40 tidak perlu minum Cola-cola
sebagai langkah membendung kemarahan kononnya cukai ini tidak akan
terkena pada mereka.
Kesemua hujah-hujah yang diberikan oleh
pimpinan PH sekarang sudah setaraf di zaman BN di mana rakyat terasa
intelek mereka sedang dihina.
Selepas termansuhnya GST, semua rakyat
memahami bahawa Pakatan Harapan perlu mencari alternatif mendapatkan
pendapatan yang hilang daripada GST. Atas sebab itu, kita dapat melihat
mengapa Tabung Harapan menerima sumbangan yang agak banyak.
Sebab itu, selain SST yang bakal
dilaksana 1 September ini, cukai terhadap minuman soda pula dicanangkan.
Asasnya adalah untuk mencari pendapatan untuk menampung kehilangan GST,
tapi sedihya ia dicanangkan dengan hujah tidak masuk akal terutamanya
atas alasan kesihatan kerana pada masa yang sama kerajaan bakal
menurunkan harga gula.
Berikut adalah beberapa cadangan yang
boleh menggantikan cukai minuman soda demi kesihatan dan kesihatan
sosial rakyat secara amnya yang boleh diterima dengan hati terbuka.
Pertama, kerajaan Pakatan Harapan boleh menaikkan lagi cukai rokok dan arak.
Kedua, kerajaan juga boleh memansuhkan kategori bebas cukai terhadap arak dan rokok di zon bebas cukai di seluruh negara.
Ketiga, kerajaan juga boleh menaikkan
cukai judi kepada semua kedai nombor empat ekor agar tiket perjudian
menjadi mahal dan tidak setimpal dengan hadiah yang diberikan.
Bukankah faktor kesihatan dan kesihatan
sosial lebih relevan untuk ketiga-tiga contoh di atas yang bersifat
tabiat tidak sihat dan haram di sisi Islam berbanding cukai terhadap
minuman soda, yang asasnya bukan satu masalah sosial dan punca masalah
kesihatan secara amnya?
*Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS,Ahli Parlimen Kubang Kerian
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan