HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Ogos 2018

Pilih timb presiden yang tak bersaing nak jadi PM, kata Rafizi

 
   
PEMILIHAN PKR | Anggota PKR diminta memilih timbalan presiden yang tidak akan bersaing dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri, kata Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, apabila Anwar menjadi perdana menteri kelak, orang kedua dalam parti mestilah seseorang yang memberikan komitmen penuh kepada perjuangan presiden partinya iaitu meneruskan agenda reformasi negara.

"Bukan kerja kita untuk menggulingkan kerjaya politik Anwar dan masa depannya," kata Rafizi di depan kira-kira 200 hadirin majlis yag diadakan di Bayan Baru, Pulau Pinang malam tadi.

Rafizi ialah naib presiden PKR yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti itu kali ini.

Keputusannya itu meletakkan bekas anggota parlimen Pandan berkenaan berdepan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.

Membawa slogan Reformasi 20 Tahun, Rafizi mempunyai pasukan tersendiri bagi mengharungi pemilihan kali ini. Antara tokoh yang ada dalam pasukan itu ialah Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan rakannya dari Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Pertembungan Rafizi - Azmin itu menarik perhatian ramai kerana sejak beberapa tahun lalu kedua-dua pemimpin dilihat memang mempunyai pendekatan berbeza dalam politik.

Bagaimanapun pemimpin PKR menegaskan tidak wujud sebarang kem dalam parti berkenaan.



Anwar yang menjadi satu-satunya calon bagi jawatan presiden PKR dipersetujui akan dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Pada masa sama wujud spekulasi mendakwa Azmin sedang berpakat dengan Dr Mahathir serta bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

Kata Rafizi sebaik saja Anwar dilantik menjadi perdana menteri beliau sepatutnya memberikan sepenuh tumpuan kepada tugasnya membantu rakyat dan bukannya mengawasi orang lain yang cuba mengganggu agendanya.

"Kalau ada orang yang asyik mengganggu semasa dia memandu, dia mungkin berdepan kemalangan. Jadi bila kita nak ke depan?" katanya dengan memberikan analogi.




Rafizi juga berkata PKR tidak perlu lagi kepada sebarang perjanjian "pintu belakang" oleh sesetengah pihak bagi mengganggu keputusan yang dicapai parti.

"Apabila parti sudah membuat keputusan, apabila pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah memutuskan nama calon menteri besar, kita tak mahu mana-mana pihak pergi menyerahkan nama lain melalui pintu belakang walaupun ia tidak dicadangkan oleh pemimpin.

"Apabila presiden parti membuat keputusan menyerahkan nama kepada Putrajaya (untuk jawatan menteri atau timbalan menteri), kita tak mahu ada orang dengan kabel lain menyerahkan nama lain supaya wujud senario lain," katanya.

Kenyataan itu tidak merujuk kepada mana-mana insiden secara jelas namun ada kemungkinan ia - antara lain - melibatkan pelantikan menteri besar Selangor selepas Azmin meletak jawatan baru-baru ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan pemimpin HARAPAN mencadangkan nama anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok Dr Idris Ahmad bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Azmin.

Bagaimanapun akhirnya ADUN Sungai Tua Amirudin Shari dilantik menjadi menter besar Selangor.

Tiada ulasan: