HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Ogos 2018

Johor paling terjejas bila sekat pemilikan Forest City, kata Umno

 
Khaled Nordin berkata kegagalan menjual hartanah bernilai tinggi di Forest City akan memberi tekanan luar biasa kepada Johor.




PETALING JAYA: Keputusan menyekat pemilikan hartanah oleh warga asing di Forest City akan merencatkan pertumbuhan pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutamanya Johor, kata Majlis Dasar Awam Umno.

Pengerusi Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata Johor menyaksikan kerancakan pembangunan hartanah secara besar-besaran dengan penyertaan pemain global, justeru keputusan itu akan mewujudkan lambakan aset perumahan mewah di negeri selatan itu.

“Kegagalan untuk menjual hartanah bernilai tinggi ini pasti memberikan tekanan luar biasa kepada ekonomi Johor dan pertumbuhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri besar Johor ini mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilapor tidak bersetuju dengan idea membina bandar untuk warga asing dan kerajaan tidak akan mengeluarkan visa untuk mereka tinggal di Malaysia.

Khaled sudah menjangkakan pentadbiran Dr Mahathir akan mengambil langkah itu.

“Banyak negara termasuk negara maju memperkenalkan dasar seumpama itu. Namun, ia dilaksanakan secara jelas, terancang, teratur dan berperlembagaan.

“Bukannya secara tiba-tiba melalui satu pengumuman yang hanya dikhususkan kepada satu projek hartanah tertentu sahaja,” katanya.

Khaled mengingatkan tanpa dasar rasmi negara sebagai sandaran dan asas, kerajaan akan dilihat melakukan tindakan yng boleh dianggap berunsur diskriminasi.

“Ia membuka ruang tanggapan bahawa halangan serta sekatan pemilikan asing di Forest City merupakan keputusan yang didorong sentimen politik dan bukan dipimpin pertimbangan dasar yang objektif,” katanya.

Khaled mendesak Menteri Besar Datuk Osman Sapian menyatakan pendiriannya kerana ia melibatkan kepentingan negeri dan syarikat-syarikatnya.

“Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Berhad (KPRJ) yang dipengerusikan beliau sendiri turut memegang kepentingan dalam projek ini.

“Johor memerlukan menteri besar untuk Johor dan bukannya menteri besar yang berkhidmat untuk kepentingan Kuala Lumpur,” katanya.

Hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengkaji dan menyemak semula perjanjian Forest City.

Projek Forest City bernilai AS$100 bilion (RM389 bilion) yang dibina di 4 pulau buatan manusia di Selat Johor itu, dibangunkan pemaju hartanah China, Country Garden Pacificview Sdn Bhd.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Dr Mahathir berhubung pengumuman itu yang “mungkin tersasar daripada konteks dalam laporan media tertentu”.

Katanya, kenyataan itu tidak sama dengan hasil pertemuan perdana menteri dengan Pengerusi Country Garden Holdings, Yeung Kwok Keung pada 16 Ogos lalu.

Pada 24 November 2017, Sultan Johor berkata 40% pelabur dalam projek Forest City adalah orang tempatan. Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata projek itu akan menghasikan cukai pintu dan tanah, peluang pekerjaan dan perniagaan.

Tiada ulasan: