HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Ogos 2018

Bekalan air di Sabah dijangka kritikal ekoran cuaca panas

Bernama
 hottest-681x341




KOTA KINABALU – Sabah akan menghadapi masalah air kritikal ekoran keadaan cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga penghujung tahun ini, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Peter Anthony.

Beliau berkata, keadaan cuaca panas berpanjangan itu akan mengakibatkan keadaan sungai menjadi kering selain tahap bekalan air di semua loji serta empangan di negeri ini juga menyusut dan berkurangan.

Sehubungan itu, katanya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca panas tersebut dengan memastikan bekalan air mencukupi dapat disalurkan kepada semua pengguna menerusi penyediaan perkhidmatan penghantaran lori tangki air.

“Berdasarkan Jabatan Meteorologi, keadaan cuaca panas ini dijangka berpanjangan hingga Disember tahun ini. Lima kawasan akan terkesan besar dengan keadaan cuaca tersebut iaitu Pulau Banggi; Pitas; Beaufort; Kuala Penyu; dan Menumbok.

“Saya menjangkakan banyak lagi kawasan akan terjejas (keadaan cuaca panas), namun, untuk sementara ini, kami akan memberi fokus dalam menyediakan perkhidmatan tangki air dan keperluan lori di lima kawasan terbabit,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Peter berkata, orang ramai diingatkan supaya membuat penjimatan air dan tidak melakukan pembaziran.

Daerah yang mengalami masalah kekurangan bekalan air diminta memaklumkan perkara itu kepada JANS menerusi talian 088-326888 bagi membolehkan tindakan segera diambil, katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: