HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Ogos 2018

PBT Kota Bharu turunkan bendera Malaysia dipasang AMANAH

 


Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan mendakwa usaha mereka menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-61 dihalang pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menurunkan bendera Malaysia yang dipasang di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu, hari ini.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan berkata, kerja-kerja penurunan Jalur Gemilang itu dilakukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Menurutnya, kerja-kerja penurunan bendera itu dilakukan pada awal pagi tadi selepas dua minggu dipasang.

"Kami kecewa dengan tindakan PBT sedangkan ketika ini rakyat Malaysia berkobar-kobar menyambut sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

"Apa yang menghairankan, tindakan ini dibuat selepas kira-kira dua minggu kami gantung bendera tersebut.

"Lagi dua hari untuk detik 31 Ogos akan tiba, kami bimbang wujudnya unsur-unsur politik dalam tindakan PBT tersebut ," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, perkara sama dibangkitkan oleh Pengerusi AMANAH, Wan Abd Rahim Wan Abdullah melalui akaun Facebooknya.

"Oleh kerana tidak nampak usaha pihak berkuasa negeri kibarkan Jalur Gemilang di jalan-jalan utama Kota Bharu, ambo (saya) minta aktivis AMANAH naikkan di cabang empat Cherang dan cabang empat Jalan Bayam.

"Tetapi pagi ini, pihak MPKB-BRI bertindak membuang atas alasan mengganggu. Nak kata apa lagi?" ujarnya.

Difahamkan, AMANAH Kelantan juta akan membuat laporan polis terhadap tindakan penurunan bendera oleh pihak berkuasa itu.

Lokasi tak sesuai, kata PBT

Sementara itu Setiausaha MPKB-BRI, Hazmi Abdul Hamid berkata tindakan itu diambil pihaknya susulan bendera tersebut dipasang di lokasi tidak sesuai.

Katanya, ia juga susulan aduan orang ramai berhubung kedudukan pemasangan bendera itu yang mengganggu lalu lintas.

"Kita dapati bendera yang dipasang itu mengganggu pengguna jalan raya kerana diletakkan di kawasan yang melindungi lampu isyarat.

"Tindakan kita juga diambil selepas aduan orang awam mengenai perkara itu," jelasnya ketika dihubungi.


Tiada ulasan: