Calon PAS, Dr Halimah Ali yakin mampu melakukan kejutan untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Beliau berkata, status Halimey Abu Bakar sebagai anak tempatan di Seri Setia bukan jaminan kepada calon Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK ini.
“Ya, mungkin ia satu kelebihan kepada Halimey tetapi peluang untuk menang adalah terbuka kepada semua calon bertanding.
“Berdasarkan rekod, ada calon luar yang bertanding berjaya menewaskan calon tempatan. Sebagai contoh, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari bukan calon tempatan, tetapi beliau boleh menang di kawasan yang ditandinginya.
“Saya sendiri ketika bertanding di DUN Selat Klang, mendapat undi yang besar walaupun saya bukan anak tempatan,” katanya katanya ketika ditemui pada program komuniti di Desa Mentari pada Ahad.
Mengas lanjut, Dr Halimah berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan kempen setakat ini apabila mendapat respon positif daripada pengundi.
“Bermula minggu depan, lebih ramai kepemimpinan PAS pusat akan turun padang membantu kempen saya,” katanya.
PRK DUN Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu akibat barah usus.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan