HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2018

TPM kurang senang pelantikan Rahim Noor sebagai fasilitator damai

MALAYSIAKINI

   

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kurang senang dengan tindakan melantik bekas ketua polis negara Tan Si Rahim Noor sebagai fasilitator proses damai di selatan Thailand.

Bagaimanapun, beliau berkata pelantikan itu hak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apabila beliau (Dr Mahathir) bertanya saya, saya memberitahu beliau (saya kurang senang), tetapi saya kata itu hak beliau membuat keputusan," kata Wan Azizah dalam rakaman wawancara yang disiarkan stesen radion BFM pagi ini.

Beliau berkata Mahathir memilih Rahim kerana pengalamannya, terutama dalam memainkan peranan penting yang menjayakan Perjanjian Damai Hat Yai antara kerajaan Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya.

"Sesiapa yang dipilih, mereka perlu memastikan keberhasilannya (rundingan damai Selatan Thailand)," kata beliau.

Sebelum ini, anak sulung Wan Azizah, Nurul Izzah Anwar menggelar bekas pengarah cawangan khas itu sebagai "penyerang ganas terhadap seorang lelaki yang tidak bersalah," merujuk insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Pihak berkuasa Thai, MARA Pattani

Pengarah strategi BERSATU, Datuk Rais Husin juga bersetuju dengan Nurul Izzah, manakala bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan pelantikan itu sebagai 'mata lebam' untuk Malaysia.

Susulan itu, bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin mempertahankan Rahim, memuji sumbangan beliau kepada negara selaku pegawai polis.

Namun Rahim berkata maklum balas Nurul Izzah sudah dijangkakan tetapi menegaskan "peristiwa mata lebam itu cerita lama."

Bekas IGP itu memberitahu Malaysiakini pemilihan beliau sebagai fasilitator damai dibuat berdasarkan pengalamannya.

"Apa yang berlaku pada waktu itu (peristiwa mata lebam), waktu itulah. Tidak relevan untuk dia (Nurul Izzah) mengaitkannya dengan pelantikan saya.

"Melainkan keputusan untuk melantik saya dibantah pihak berkuasa Thai atau MARA Pattani (wakil beberapa kumpulan militan di sana). Setakat ini, daripada maklum balas yang saya terima, tiada yang menunjukkan bantahan mereka.

"Dua pihak inilah yang penting dalam proses damai," kata Rahim.


Tiada ulasan: