HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Ogos 2018

Kami cuma kawan, bukan 'kahwin' – Halimah

MALAYSIAKINI

   

“Sebenarnya PAS bukan ‘kahwin’ dengan Umno sebaliknya berkawan,” kata calon PAS untuk pilihan raya kecil Seri Setia Dr Halimah Ali.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan 'perkahwinan' yang kini sedang disaksikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Dalam wawancara bersama Sinar Harian hari ini, Halimah berkata, perlembagaan PAS tidak melarang kerjasama dengan pihak yang tidak berlawanan dengan tujuan parti itu.

“Bukan dengan Umno saja mana-mana pihak yang tidak berlawanan dengan dasar PAS boleh anjur bekerjasama.

“Istilah kahwin dan sebagainya mungkin adalah sindiran daripada pihak lawan.

 "Mungkin ada hikmahnya bila kami dikeluarkan daripada PR dan kenapa Umno jatuh.

“Kita mahu kukuhkan blok pembangkang kerana Umno bukan kerajaan negeri dan kerajaan pusat di Putrajaya.

“Insya-Allah semua matlamat sama nak suara pembangkang kuat di sidang DUN,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, ditanya perjalanan kempen dalam tempoh lebih seminggu, Halimah berkata penduduk Seri Setia peka terhadap perkembangan semasa.

“Mereka sedar apa yang berlaku selepas 100 hari kerajaan persekutuan bertukar dan tahu kerajaan negeri turut berubah daripada Pakatan Rakyat kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Penduduk juga sedar mengenai janji 100 hari dan tahu apa yang terjadi dengan janji-janji itu. Apa pun saya lihat penerimaan agak baik daripada penduduk Seri Setia,” kata bekas exco Selangor itu.

Umno memberi laluan kepada PAS di kawasan itu setelah parti itu bertindak sama dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis sebelum ini.

Dr Halimah akan berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar pada 8 September ini.

Kekosongan kerusi tersebut berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat barah usus pada 2 Ogos lepas.


Tiada ulasan: