Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata, menambah bilangan kaunselor di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mengatasi masalah itu tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya isu terbabit.
“Kita sambut baik cadangan Kementerian Pendidikan untuk menambah bilangan kaunselor bagi atasi masalah kemurungan dalam kalangan guru tapi kena kenal pasti kenal pasti dulu faktor utama kenapa guru tertekan.
“Jika ia tak ditangani dengan betul dan holistik dibimbangi tidak akan memberi kesan kepada pertambahan bilangan kaunselor,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, katanya, pihaknya juga mencadangkan supaya pentadbir dan pengurus sekolah diberi latihan dan kemahiran untuk mengendalikan kes guru tertekan.
Menurutnya, aspek ketahanan mental dan spritual perlu diberi penekanan dengan memasukkan elemen keagamaan serta kerohanian.
“Iguru sangat berharap supaya isu seperti guru duka lara, beban tugas guru dan kemenjadian pelajar diberi perhatian sepenuhnya supaya isu guru stres ini dapat ditangani sebaiknya.
“Pada masa sama peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan beban tugas dan tekanan para guru,”katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kajian yang dijalankan oleh kementerian itu tahun lalu mendapati sebanyak 4.4 peratus guru di negara ini mengalami stres tahap sederhana tinggi.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah bilangan kaunselor bagi membantu guru yang menghadapi stres dan masalah kemurungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan